SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana telah telah membuat keputusan yang berani dengan membatalkan semula kebenaran operasi kilang minuman arak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.
Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, tindakan yang dilakukan oleh kerajaan wajar dipuji kerana ia memberi petunjuk bahawa kerajaan sentiasa peka dan mendengar setiap pandangan dan keluh-kesah rakyat.
Bagaimanapun menurutnya, Cuepacs berharap isu itu tidak terus dipolitikkan atau diperbesarkan oleh sesetengah pihak hingga meletakkan kesalahan tersebut kepada penjawat awam.
"Harus diingatkan penjawat awam tidak kira di peringkat tertinggi atau peringkat bawahan sentiasa melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Setiap keputusan yang dibuat pasti ada baik dan buruknya kepada persepsi rakyat. Jika keputusan itu perlu diperbetulkan, maka marilah sama-sama kita memperbetulkan dan bukan membuat dakwaan bahawa ia dilakukan dengan niat untuk sabotaj.
"Rakyat perlulah berlapang dada dalam hal ini kerana tidak semua keputusan yang diambil oleh kerajaan mampu memuaskan hati semua pihak. Apa yang lebih penting dalam hal ini adalah kerajaan telah mendengar pandangan daripada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata Adnan lagi, sebagai penjawat awam, tidak kira dilantik semasa kerajaan terdahulu atau kerajaan semasa, penjawat awam sentiasa berikrar untuk menjalankan amanah dengan sifat yang neutral dan tidak berunsur politik demi agama, bangsa dan negara.
"Mantra 'Berkhidmat Untuk Negara' adalah pegangan kami dalam melaksanakan tugas. Marilah kita bersama menjayakan aspirasi negara dengan sebaik mungkin untuk masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan membatalkan kelulusan operasi dua kilang arak dalam tempoh PKP.
Kelmarin, satu surat bertarikh 31 Mac 2020 yang didakwa dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi kebenaran kepada sebuah syarikat arak untuk beroperasi semasa PKP.
Dalam surat yang ditandatangani Ketua Setiausaha kementerian itu turut menyatakan bahawa syarikat itu telah memohon kebenaran pada 24 Mac lalu untuk beroperasi dan kilang itu dibenarkan berbuat demikian bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang PKP.