Permohonan tangguh hukuman penjara pembantu kedai ditolak

Iklan
Nursahira berpakaian penjara putih diringi pegawai penjara selepas permohonan menangguhkan hukuman penjara ditolak Mahkamah Sesyen hari ini.

ALOR SETAR - Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini menolak permohonan seorang pembantu kedai untuk menangguhkan hukuman penjara lima bulan ke atasnya sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.

Tertuduh, Nursahira Mohd Mizuar, 20, dijatuhkan hukuman tiga bulan dan denda RM10,000 atau penjara dua bulan pada 31 Mac lalu kerana menghina polis di media sosial namun disebabkan gagal membayar denda, dia dikenakan tambahan penjara dua bulan.

Iklan
Iklan

Hakim Murtazadi Amran membuat keputusan itu selepas melihat tiada alasan istimewa dan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah berat.

Menurutnya, tiada alasan kukuh yang boleh dilihat bagi menangguhkan hukuman yang sudah berjalan sejak dia ditangkap pada 27 Mac lalu.

Iklan
Naran (kanan) dan Muhammad Azlan ketika ditemui media di pekarangan Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Nursahira juga tidak meminta maaf dan menyesal di atas perbuatannya.

Sementara itu, peguambela tertuduh, Datuk Naran Singh memohon hukuman ditangguhkan kerana ketika hukuman dijatuhkan, tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Katanya, pihaknya sukar mendapatkan cop pengesahan pesuruhjaya sumpah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Semasa hukuman dijatuhkan, Nursahira juga tidak diwakili peguam dan dia tidak mempunyai wang untuk membayar denda. Kini sudah ada seorang ahli perniagaan yang sudi membantunya dan menanggung kos guaman.

"Kita akan membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Pembantu kedai dipenjara 3 bulan, denda RM10,000 hina polis

Terdahulu kisah Nursahira tular sejak seminggu lalu dan mendapat perhatian seorang ahli perniagaan, Muhammad Azlan Abdullah@Ali dari Besut, Terengganu yang mahu membantunya.

Pada 31 Mac lalu, Nursahira mengaku bersalah dan membuat pengakuan tersebut di hadapan Murtazadi.

Mengikut kertas pertuduhan, Nursahira menggunakan Facebook dengan nama Sahira Eyraa secara sedar telah membuat penghantaran komunikasi jelik pada 27 Mac 2020 kira-kira 8.30 malam sehingga 10.12 malam.