ALOR SETAR - Menteri mahupun pemimpin kerajaan Perikatan Nasional harus mencontohi sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam menangani isu sebuah kilang arak dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan berkata, selain tegas dengan prinsip, Dr Zulkifli tidak membuat ulasan terbuka bagi mengelak kenyataan beliau disalah tafsir.
Menurutnya, beliau juga dilihat tidak mencampuri peranan kementerian lain bagi mengelak kontroversi.
"Disiplin seperti ini diperlukan agar tidak wujud percanggahan pandangan seperti yang berlaku dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Wan Saiful berkata, kerajaan Perikatan Nasional harus memastikan kesilapan seperti itu tidak berulang dalam pentadbiran mereka.
"Beliau tidak mahu menjawab bagi pihak kementerian lain dan tidak mahu terlibat dalam kontroversi yang tidak perlu. Sikap berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan amat penting agar mesej yang disampaikan kepada rakyat tepat dan tidak bercanggah dengan pemimpin lain,” katanya.
Menurutnya, berbanding ketika era pemerintahan PH sebelum ini, menteri dan pemimpin politik sering memberi komen bercanggah kepada umum.
"Ketiadaan disiplin seperti itu menyebabkan PH dilihat tidak kompeten dan caca marba. Keinginan untuk menjadi hero secara individualistik serta gagal bergerak sebagai satu pasukan menyumbang kepada kelemahan kerajaan PH,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pandangan terhadap arak adalah konsisten: Zulkifli
Terdahulu, menerusi Facebook miliknya, Dr Zulkifli menjelaskan, beliau tidak selesa untuk menjawab bagi pihak kementerian lain berkaitan sebuah kilang arak dibenarkan beroperasi ketika PKP dikuatkuasakan.
Tegas beliau, soalan berbaur kontroversi atau bertujuan melaga-lagakan dirinya dengan mana-mana pihak akan dielakkan.
Ini kerana sekiranya dijawab secara tergesa-gesa kemungkinan boleh menjatuhkan maruah seseorang.
Dr Zulkifli berharap insiden tersebut tidak berulang kerana umum mengetahui natijahnya.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, pendirian beliau berkaitan arak adalah konsisten tanpa kompromi bahawa minuman keras itu adalah haram di sisi Islam.