Gambar tiga anak kecil runtun hati

Iklan
Gambar yang dihantar oleh seorang ibu tunggal dari sebuah perkampungan nelayan di Labuan, Sabah kepada Yayasan YTL bagi memohon kad SIM YES 4G percuma untuk tiga anaknya.

KUALA LUMPUR - Tidak mahu anak-anaknya ketinggalan dalam pelajaran, seorang ibu tunggal dari sebuah perkampungan nelayan di Labuan, Sabah memohon kad SIM YES 4G percuma yang ditawarkan Yayasan YTL dengan kerjasama Teach For Malaysia.

Permohonannya itu disertakan sekeping gambar tiga anak kecilnya, seorang lelaki dan dua perempuan yang sedang memegang sijil kematian bapa mereka.

Iklan
Iklan

Pengerusi Yayasan YTL, Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping berkata, sejak dua minggu lalu, pekerja YTL Communications bekerja sepanjang masa bagi memenuhi permohonan mendapatkan kad SIM YES 4G percuma dan mereka tertarik dengan permohonan ibu tunggal berkenaan.

"Lebih menyayatkan hati, ibu tunggal ini memberitahu telah kehilangan kerja, sama seperti kebanyakan penduduk lain di kampung halamannya disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Atas dasar prihatin dan tanggungjawab sosial korporat, Yayasan YTL memberikan sebuah telefon pintar bersama kad SIM percuma seperti yang dipohon," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau berkata, Yayasan YTL amat memahami kesukaran yang dihadapi kebanyakan keluarga di Malaysia terutamanya mereka dari golongan B40, ketika dunia dan negara sedang menghadapi ujian berat berikutan penularan wabak Covid-19.

"Ada yang terpaksa bertungkus-lumus demi mencari sesuap nasi, namun dalam apa jua cabaran yang dihadapi, Yayasan YTL tetap nekad membantu pendidikan generasi muda terutamanya kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Iklan

Justeru katanya, Yayasan YTL dengan kerjasama YTL Communications menawarkan telefon pintar percuma kepada pelajar sekolah kerajaan dari keluarga B40 yang tidak memiliki telefon pintar atau peranti mudah alih bagi sesi pembelajaran dari rumah.

Katanya, sumbangan di bawah Inisiatif Belajar dari Rumah itu sebagai tambahan kepada kad SIM YES 4G dilengkapi data 40 GB dan sumber pembelajaran yang diberikan kepada pelajar sekolah kerajaan secara percuma.

Menurutnya, setiap telefon pintar tersebut akan dilengkapi kad SIM prabayar YES 4G dan pelan data sebanyak 120GB bagi tempoh 12 bulan.

"Untuk memastikan telefon pintar tersebut dapat diberikan kepada keluarga yang memerlukan, Yayasan YTL memohon kerjasama para guru sekolah kerajaan untuk tampil membantu memberikan nama pelajar yang layak kerana guru-guru merupakan barisan yang terbaik bagi mengenal pasti keluarga ini.

"Para guru memainkan peranan penting dalam usaha membantu pelajar di dalam kelas, selain kerap meluangkan masa, tenaga dan ilmu bagi membantu pelajar mereka," katanya.

Beliau berkata, guru-guru dan ibu bapa juga harus bekerjasama rapat bagi membolehkan pelajar dapat meneruskan sesi pembelajaran dari rumah dengan baik tanpa sebarang gangguan.

Katanya, ibunya juga adalah bekas guru dan beliau membesar dengan melihat dedikasi wanita itu terhadap pelajar.

"Beliau (ibu) akan mengadakan kelas tambahan untuk pelajar yang lemah setiap hari selepas waktu persekolahan, namun kelas tambahan tidak akan bermula selagi pelajar tidak diberikan makanan terlebih dahulu kerana beliau tahu bahawa ramai di antara mereka tidak mampu untuk mendapatkan bekalan makan tengah hari yang baik.

"Kami menghormati semua guru dan kami percaya bahawa mereka dapat membantu kami mengenal pasti pelajar yang paling memerlukan dapat menerima tawaran percuma ini,” katanya.

Sementara itu, isteri kepada Pemegang Amanah Yayasan YTL, Tan Sri Aris Othman, Puan Sri Sherina Aris berkata, beliau amat bersetuju bahawa guru adalah yang terbaik untuk menilai keperluan pelajar di dalam kelas mereka.

"Saya membesar dalam keluarga yang sangat miskin, dan guru sayalah yang telah membantu saya menamatkan pengajian.

"Saya telah mengalami anemia akibat kekurangan nutrisi dan guru sayalah yang telah menyedari perkara ini dan menghantar saya berjumpa doktor serta mencari penaja yuran persekolahan saya.

"Guru-guru lain turut sama menyumbang bagi memastikan saya mendapat nutrisi harian yang mencukupi," katanya.

Sherina berkata, sebagai seorang bekas guru dan pernah mengalami sendiri kebaikan yang dicurahkan oleh guru, beliau yakin bahawa golongan itu sentiasa mengutamakan kesejahteraan pelajar mereka.

Guru-guru boleh mencalonkan nama pelajar yang layak menerima telefon pintar di www.ytlfoundation.org/learn.

Pelajar yang berjaya akan dimaklumkan dan perlu mengemukakan pendaftaran bagi membolehkan mereka menerima telefon pintar dilengkapi pelan data 12 bulan YES 4G percuma.

Sejak inisiatif ini dilancarkan, FrogAsia telah memuat naik lebih daripada 5000 kuiz di aplikasi FrogPlay Mobile.

Teach For Malaysia turut menyertai inisiatif itu dalam membangunkan kandungan-kandungan berkaitan mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik berpandukan kurikulum kebangsaan.

Layari www.ytlfoundation.org/learn untuk mendapatkan kandungan berkenaan dan memohon kad SIM prabayar YES 4G secara percuma.

Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai inisiatif itu, sila ikuti Yayasan YTL di https://www.facebook.com/ytlfoundation atau @ytlfoundation dalam Instagram dan Twitter.