KUALA KUBU BHARU - Perlawanan persahabatan sepak takraw antara otai KKB dengan Kelab Sukan dan Kebajikan Paroi (Kesukep) bukan sekadar menguji kehebatan dan menjalin persahabatan tetapi turut menggamit nostalgia.
Ini kerana perlawanan yang diadakan di gelanggang sepak takraw Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) petang Ahad itu umpama reunion yang mengumpulkan kembali pemain-pemain yang sebelum ini pernah mewakili Hulu Selangor dalam pelbagai pertandingan.
Gelanggang yang suram kembali meriah dengan kehadiran kedua-dua pasukan yang rata-rata diwakili pemain yang boleh dianggap veteran kerana kebanyakannya berusia 40 tahun dan ke atas.
Pemain yang paling tua berada di atas gelanggang ialah Abu Bakar Mustafa dari Kesukep berusia 72 tahun yang bermain di posisi tekong.
Walaupun sudah berusia, namun masih mampu mempamerkan aksi yang menghiburkan bak kata penaung Otai KKB, Datuk Mohd Isa Abu Kassim, 'bisa tak berapa ada, tapi skill masih ada.'
Mana tidak, ada yang lebih 10 tahun tidak bermain sepak takraw tetapi tetap turun ke gelanggang dengan semangat yang membara.
Salah seorang pemain Otai KKB, Abdul Hamid Jani misalnya, sanggup memandu dari Batu Pahat semata-mata untuk bertemu dengan rakan-rakan dan mengembalikan nostalgia yang lalu.
Beliau berkata, bukan kemenangan yang menjadi keutamaan tetapi dapat bertemu semula dengan rakan-rakan lama dan menjalinkan silaturahim dengan Kesukep.
"Ramai yang kembali turun ke gelanggang pada petang ini. Dahulu mereka hebat-hebat. Sekarang pun masih hebat walaupun sudah berusia," kata pesara JKR itu.
Penyelaras program, Soffian Kamaruzaman berkata, idea untuk mengumpulkan bekas-bekas pemain timbul apabila Kesukep mengajak untuk mengadakan satu perlawanan persahabatan.
Beliau berkata, pada peringkat awal mereka bercadang untuk bermain di Batang Kali namun akhirnya memilih gelanggang MDHS untuk mengembalikan nostalgia itu.
"Dulu gelanggang ini pernah meriah dengan pemain-pemain ini, jadi saya terfikir untuk mengumpulkan semua mereka. Alhamdulillah ramai juga yang nak tengok ‘orang tua’ main sepak takraw," katanya.
Katanya, mungkin sudah dipanjat usia, barang kali servis, umpanan dan libasan mereka tidak selincah dan setangkas dulu tetapi penangan orang lama yang berpengalaman luas masih mempunyai bisa dan sentuhan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Mohd Isa dan Adun Batang Kali, Harumaini Omar yang memberikan sokongan termasuk memberi sumbangan untuk merealiasikan program.
"Insya-ALLAH jika ada kelapangan, kami akan bertandang ke Paroi untuk perlawanan timbas balas. Cuma tarikhnya masih belum ada," katanya.
Justeru beliau berharap agar gelanggang yang pernah melahirkan ramai pemain-pemain hebat sepak takraw itu akan terus meriah dengan bakat-bakat baharu.