Kerajaan kenal pasti penempatan warga asing, kekang Covid-19

Iklan
Hamzah Zainuddin

JOHOR BAHRU - Kerajaan akan mengenal pasti penempatan warga asing di seluruh negara termasuk penempatan secara haram dalam usaha mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) dalam kalangan warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perbincangan antara agensi-agensi penguatkuasaan hari ini ada menyentuh mengenai perkara itu.

Iklan
Iklan

"Kita nak pastikan kita tahu di mana mereka dan kalau boleh kita nak pastikan mereka duduk di tempat masing-masing dan kita akan lakukan saringan apabila kita dapat menemui mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor sempena lawatan kerja sehari, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai langkah kerajaan dalam mengekang penularan wabak berkenaan dalam kalangan warga asing susulan pengumuman kerajaan Singapura mengenai kluster baharu kes Covid-19 melibatkan penempatan warga asing.

Iklan

Terdahulu, awal hari ini, Singapura dilaporkan mengenal pasti satu lagi kluster baharu Covid-19 melibatkan sebuah asrama pekerja asing yang terletak di Kranji Road semalam.

Selain Kranji Lodge, terdapat enam lagi asrama dikenal pasti sebagai kluster dengan dua diwartakan kawasan pengasingan iaitu S11 Dormitory @ Punggol di Seletar North Link dan asrama Westlite Toh Guan Road East dengan kedua-duanya menempatkan 19,800 pekerja dengan 117 kes positif.

Iklan

Pada masa yang sama, Hamzah berkata pihaknya akan mengetatkan kawalan terutama di lokasi yang berpotensi menjadi lorong tikus bagi mengekang keluar masuk pendatang asing walaupun tiada tangkapan mereka yang menggunakan laluan itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

"Justeru, saya nak bagi amaran kepada tekong-tekong, kalau kita kenal pasti mereka cuba bawa masuk pendatang asing secara haram, hukuman seberatnya buat mereka. Melalui risikan kita, tak mungkin warga asing masuk secara haram tanpa bantuan rakyat Malaysia," katanya.

Oleh itu, tambahnya, kerjasama antara agensi perlu dipertingkatkan termasuk berkongsi maklumat mengenai aktiviti berkenaan supaya dapat dibanteras.

Terdahulu, Hamzah menghadiri taklimat oleh agensi-agensi penguatkuasaan lebih dua jam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang turut disertai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Terdahulu, Hamzah turut melawat operasi serta aset-aset agensi-agensi terlibat di Bangunan Sultan Iskandar (BSI). - Bernama