Simpang Renggam terima bantuan Tabung CovidSinar

Iklan
Auzani (kanan) memberi penerangan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja mengangkat barangan keperluan petugas kesihatan yang bakal diagihkan ke Simpang Renggam, Johor.

SHAH ALAM - Sebanyak 3,000 topeng muka dan ‘boots cover’ mula dihantar ke Simpang Renggam, Kluang, Johor menerusi Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 (CovidSinar) hari ini sebelum diagihkan ke klinik-klinik kesihatan terbabit.

Penyelaras Tabung CovidSinar, Auzani Fikry berkata, selain barangan tersebut Tabung CovidSinar turut menyalurkan 300 pasang peralatan perlindungan peribadi (PPE), 50 liter cecair pensanitasi tangan, 60 topeng muka N95, 100 pasang ‘isolation gown’, tiga buah khemah dan juga air minuman.

Iklan
Iklan
AUZANI

Menurutnya, sebelum ini kesemua barangan keperluan petugas kesihatan yang mengendalikan kes wabak Covid-19 telahpun diperuntukkan dan mereka hanya menunggu masa untuk dihantar.

"Alhamdulillah pada hari ini pihak berwajib di sana (Simpang Renggam) telahpun menghantar wakil mereka untuk mengambil barangan tersebut.

Iklan
Barangan keperluan petugas kesihatan dihantar ke Simpang Renggam dengan menggunakan lori.

"Jadi kami berharap dengan sumbangan dan bantuan ini dapat memberi sedikit kelegaan dan suntikan semangat buat petugas kesihatan di sana dalam memberikan perkhidmatan terbaik ketika berdepan dengan pesakit Covid-19 dan juga ketika menjalani proses saringan wabak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan kerja-kerja mengangkat barangan keperluan petugas kesihatan di pusat operasi dan pengumpulan Tabung CovidSinar ke dalam lori untuk di hantar ke Simpang Renggam di sini hari ini.

Iklan

Simpang Renggam menjadi antara kawasan yang turut diberi keutamaan oleh Tabung CovidSinar dalam menyalurkan bantuan selepas diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 26 Mac lalu.

Sebelum ini Tabung CovidSinar yang dilancarkan pada 21 Mac lalu hanya memberi fokus dalam menyalurkan bantuan kepada beberapa klinik kesihatan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sahaja termasuk kawasan zon merah.

Bantuan berupa air minuman turut diagihkan ke Simpang Renggam, Johor.

Mengulas mengenai bekalan keperluan petugas kesihatan, Auzani mengakui, PPE masih lagi menjadi antara yang perlu diberi perhatian memandangkan pihaknya berdepan kesukaran untuk mendapatkan peralatan keperluan utama itu.

Begitupun katanya, pihaknya amat berterima kasih Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kerana berjaya melaksanakan kolaborasi dengan sukarelawan Tabung CovidSinar untuk menjahit PPE bagi kegunaan petugas kesihatan.

Sukarelawan Briged Penjahit Covid-19 UIAM giat menyiapkan PPE menerusi sumbangan 3,000 meter kain yang diterima sebelum ini.

"Program di bawah seliaan Dr Muhammad Irwan Ariffin itu dianggarkan dapat menjahit sebanyak 1,000 PPE dengan kerjasama Briged Penjahit Covid-19 UIAM melalui sumbangan 10 gulung kain sepanjang 3,000 meter yang diterima sebelum ini.

"Produk yang dihasilkan mereka termasuklah sut perlindungan penuh, isolation gown, penutup kepala dan juga penutup but. Keperluan ini akan dibekalkan kepada klinik-klinik kesihatan yang akan dikenal pasti nanti selain untuk kegunaan di Hospital UIAM di Kuantan, Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, Auzani berkata, Tabung SinarCovid turut mendapat permintaan daripada mereka-mereka yang ingin membekalkan kain untuk dijahit sebagai PPE.

Justeru beliau mengharapkan ada pihak yang sudi tampil terutamanya mereka mempunyai kebolehan menjahit untuk bersama-sama menjayakan misi dalam menyediakan peralatan keperluan petugas kesihatan dalam memerangi penularan wabak Covid-19.

Dua petugas di pusat operasi dan pengumpulan Tabung CovidSinar sedang mengagihkan barangan keperluan petugas kesihatan untuk disalurkan ke beberapa klinik kesihatan di Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Sinar Harian mengaktifkan Tabung CovidSinar bagi membolehkan rakyat Malaysia tampil bersama-sama mengumpulkan dana untuk petugas kesihatan sekali gus membantu meringankan beban kumpulan berkenaan dalam usaha memerangi Covid-19.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025. Sebarang pertanyaan boleh diajukan menerusi talian 019-6680920 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja). #sinaruntukfrontlinerscovid, #rakyatbanturakyat, #kitalahmalaysia.

Kerja-kerja memotong kain dilakukan dengan sempurna oleh sebahagian daripada sukarelawan Briged Penjahit Covid-19 UIAM.