KANGAR - Usahawan harumanis disaran lebih proaktif dengan mengaplikasikan teknologi dalam perniagaan dan pemasaran ketika berdepan pandemik koronavirus (Covid-19) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usahawan dan pengusaha harumanis perlu segera berubah sikap dan mengambil peluang membuka kedai maya sama ada secara persendirian mahupun berkumpulan.
Baginda mahu golongan itu memanfaatkan platform disediakan agensi kerajaan seperti portal Agrobazaar Online milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang diuruskan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
"Corak perniagaan kini mesti berubah, sekarang tidak boleh lagi selesa seperti biasa. Perniagaan yang melibatkan premis fizikal dan operasi jualan mungkin terpaksa dikecilkan. Sebaliknya, perniagaan atas talian kian meningkat dan berkembang pesat,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, FAMA bukan sahaja membuka kedai maya, malah turut melatih dan membantu usahawan memasarkan harumanis Perlis dan produk hiliran lain secara lebih cekap dan berkesan di peringkat domestik mahupun global.
"Sempena musim harumanis Perlis yang baru kembali, pengusaha diingatkan agar menjaga kualiti dan piawaian buah dari segi penjagaan dan pengurusan ladang, penjadualan, penuaian, penggredan, pembungkusan serta pelabelan supaya pengguna menerima produk berkualiti setanding harganya yang premium,” titah baginda.
Tambah baginda lagi, pengusaha dan usahawan harumanis Perlis perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masing-masing dalam aspek pemasaran dan penjenamaan produk.
"Aspek promosi dan pengiklanan perlu dilipatgandakan. Pengusaha dan usahawan perlu mengambil peluang untuk mengiklankan harumanis Perlis secara berkala, selain menyediakan kandungan berinformatif agar dapat dikongsi dengan mudah dan cepat,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga mahu pengusaha dan usahawan mengambil iktibar daripada wabak Covid-19 yang menuntut kepada perubahan dalam aspek ekonomi, persekitaran, perundangan, teknologi, politik dan sosial.
"Saya bersyukur usahawan kita yang terlibat dalam sektor pertanian dan makanan terus diberi peluang meneruskan perniagaan dan pengedaran bekalan makanan walaupun pelbagai langkah sekatan diadakan sepanjang wabak ini, termasuk menutup premis perniagaan, penangguhan kemasukan pelancong dan sebagainya,” titah baginda.
Baginda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pada mulanya dijadualkan berangkat melancarkan ‘Majlis Perasmian Karnival Promosi Harumanis Perlis Tahun 2020’ di AEON Wangsa Maju, Kuala Lumpur anjuran kerajaan negeri semalam, namun majlis berkenaan terpaksa dibatalkan bagi mematuhi arahan PKP.