Peniaga dikesan naikkan harga barang tidak munasabah

Iklan
Anggota penguatkuasa membuat pemeriksaan di salah sebuah pasaraya.

MELAKA TENGAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan masih ada peniaga yang degil dengan menjual barangan pada harga yang tidak munasabah walaupun ketika negara dilanda koronavirus (Covid-19).

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, penguat kuasa mengesan dua kesalahan yang dilakukan peniaga di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui aktiviti pemeriksaan yang dijalankan bermula 18 Mac lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam tempoh itu sehingga semalam, sebanyak 580 premis perniagaan diperiksa membabitkan 527 peruncit, 47 pemborong dan enam pengilang atau peladang.

"Dua notis di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat harga barangan selepas menerima aduan berkaitan item yang dijual terlalu mahal dan disyaki mengambil keuntungan tidak munasabah.

Iklan

"Kami juga menerima 53 aduan berkaitan harga dan daripada jumlah itu dua notis dikeluarkan di bawah AKHAP 2011," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

---

Anggota penguatkuasa KPDNHEP Melaka memeriksa bekalan telur yang mencukupi dan harga masih munasabah

Dalam perkembangan lain, Norena berkata, jualan keperluan asas bagi tempoh PKP seperti topeng muka serta jualan telur ayam masih dalam keadaan terkawal.

Iklan

Menurutnya, bekalan topeng muka sudah berada di pasaran dan boleh didapati di kebanyakan premis runcit dan farmasi di seluruh negeri ini.

Katanya, sehingga 31 Mac lalu, harga jualan telur di pasaran boleh dianggap munasabah dan masih terkawal selain bekalan telur juga tiada masalah.

"Desas desus mengenai harga telur bakal naik kerana kenaikan kos makanan ternakan, Penguat kuasa KPDNHEP Melaka telah mengambil langkah proaktif dengan memantau secara terus harga jualan dari peringkat peladang hingga peruncit," katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut dan aduan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Melaka di talian 06-2345869 setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 6 petang atau menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Putrajaya yang beroperasi 24 jam di talian 03-88826088.