PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini tampil memperbetulkan dua laporan portal berita tempatan berhubung pertukaran Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai pengerusi.
Ketua Unit Komunikasi Korporat kementerian itu, Yunus Tasim dalam satu kenyataan berkata, laporan portal berita bertarikh 6 April 2020 mendakwa pertukaran Hasnol ke suruhanjaya itu dibuat susulan kebenaran yang diberikan bagi sebuah kilang arak beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebenarnya tidak tepat.
Iklan
Iklan
"Datuk Seri Hasnol Zam Zam yang menjadi Ketua Setiausaha Kementerian sejak 3 Februari 2020 masih lagi menjawat jawatan tersebut. Beliau juga turut dilantik sebagai Pengerusi SSM yang berkuatkuasa mulai 1 April 2020 hingga 31 Mac 2022.
"Pelantikan ini dibuat bagi menggantikan bekas Pengerusi yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian ini, Datuk Muez Abd Aziz yang bertukar ke Kementerian Pertahanan. Jawatan Pengerusi SSM ini secara tradisinya disandang oleh Ketua Setiausaha KPDNHEP memandangkan SSM merupakan salah satu dari agensi yang bernaung di bawah kementerian ini," katanya hari ini.
Selain laporan semalam, satu lagi laporan portal berita hari ini turut melaporkan Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid yang mempertahankan bekas Ketua Setiausahanya ekoran isu kilang arak tersebut.
Mengulas lanjut, Yunus berkata, KPDNHEP ingin menegaskan terdapat kesilapan dalam laporan kedua-dua portal berita tersebut dan tiada pertukaran jawatan Ketua Setiausaha.
Artikel Berkaitan