Tiga gergasi Inggeris rugi besar angkara Covid-19

Iklan
The Red Devils menjadi kelab Inggeris paling terkesan jika saingan EPL musim ini dibatalkan akibat ancaman pandemik Covid-19. Foto: FB Manchester United

Manchester United menjadi kelab Inggeris paling terkesan jika saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dibatalkan akibat ancaman pandemik Covid-19.

Hasil analisis kewangan yang dikeluarkan media antarabangsa Daily Mail kelmarin, United diunjurkan mengalami kerugian 116.4 juta pound (RM621.5 juta).

Iklan
Iklan

Jumlah itu mengambil kira tiga elemen utama iaitu membabitkan kos keuntungan pengiklanan, jualan tiket perlawanan serta hak penyiaran di televisyen.

Jiran tetangga United, Manchester City pula berada di tangga kedua dengan nilai kerugian yang dianggarkan kira-kira 109.3 juta pound (RM583.6 juta).

Iklan

Liverpool yang kini mendahului carta EPL turut terkesan dengan wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini apabila mengalami kerugian 102.6 juta pound (RM547.8 juta).

Infografik Kredit: dailymail.co.uk

Dalam pada itu, Liverpool membuat pusingan-U dan membatalkan hasrat mereka memohon bantuan kerajaan di bawah skim pengekalan pekerjaan ekoran pandemik Covid-19.

Iklan

Selepas dikecam hebat oleh peminat dan bekas pemain, pihak pengurusan The Reds itu memohon maaf atas perancangan awal mereka sebelum ini.

Pemilik Liverpool yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Fenway Sports Group pada mulanya merancang memberi cuti kepada 200 kakitangannya dengan 80 peratus gaji mereka ditanggung kerajaan.

Empat kelab - Tottenham Hotspur, Newcastle United, Bournemouth dan Norwich City turut mengambil langkah sama, namun Liverpool yang mempunyai keuntungan sebelum cukai 42 juta pound (RM223.9 juta) musim lalu dikritik hebat berdasarkan reputasi mereka.

Tatkala kempen liga masih ditangguh akibat pandemik Covid-19, City yang dimiliki jutawan Abu Dhabi, Sheikh Mansour pula berpendirian untuk tidak akan mengambil skim kerajaan bagi mengikut jejak langkah United.