KUALA KRAI - Seorang suri rumah masih trauma walaupun kejadian Pajero milik suaminya nyaris dilarikan penjenayah di Flat Sri Guchil, sudah lima hari berlalu.
Wanita dikenali sebagai Norsalina, 32, berkata, ketika kejadian, kenderaan tersebut diparkir di tempat letak kereta di tingkat bawah pangsapuri berkenaan.
Menurutnya, ketika kejadian jam 7.50 malam, Khamis lalu, hanya dia dan dua anak berada di rumah mereka di tingkat satu, sementara suaminya masih belum pulang bekerja.
"Masa tu, tiba-tiba saya terdengar bunyi enjin kereta agak kuat. Curiga dengan bunyi itu, saya minta anak lelaki intai dari beranda rumah dan anak nampak sebuah kereta parkir di bawah.
"Saya bimbang kerana tengah hari tu suami bawa balik Pajero milik majikan, dia minta tengokkan kenderaannya itu,” katanya.
Norsalina berkata, setelah sedar kehadiran kereta tersebut, dia mula rasa tidak sedap hati.
"Saya jenguk dari beranda dan dapat lihat seorang lelaki keluar dari pintu belakang kereta berwarna hitam itu. Setelah sedar saya perhatikan gelagat mereka, lelaki berkenaan masuk semula ke dalam kereta,” katanya.
Menurutnya, lelaki itu kemudian mengalihkan keretanya dan parkir di hujung bangunan.
"Saya minta anak lelaki saya terus perhatikan kereta tersebut, sementara saya solat Isyak.
"Tak lama lepas tu anak menjerit panggil saya. Salah seorang daripada mereka dilihat masuk ikut bahagian belakang Pajero suami.
"Saya terus menjerit tiga kali hingga menyebabkan mereka lari meninggalkan tempat kejadian,” katanya.
Norsalina berkata, baru-baru ini juga kereta penghuni di situ telah dicuri, menyebabkan dia bimbang kejadian sama berulang.
"Sehubungan itu, saya amat berharap rondaan keselamatan lebih kerap dilakukan di kawasan perumahan ini,” katanya.