7,000 tentera bantu PKP fasa kedua

Iklan
Anggota tentera mengawal pergerakan keluar dan masuk penghuni berikutan penemuan kes COVID-19 di Selangor Mansion ketika tinjauan hari ini. - Foto Bernama

KUANTAN - Seramai 7,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua, mulai 1 April lepas.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, pada fasa pertama PKP pada 18 hingga 31 Mac lepas, pihaknya mengerahkan antara 5,000 dengan 6,000 anggota namun pelaksanaan PKP fasa kedua yang lebih ketat menyebabkan jumlah anggota terlibat ditambah.

Iklan
Iklan

"Selain membantu operasi PKP melalui sekatan jalan raya, seramai 5,000 lagi anggota bertugas menjaga sempadan negara buat masa ini. Penglibatan ATM dilihat banyak membantu pelaksanaan PKP sehingga mencapai kadar pematuhan 99 peratus," katanya.

Ahmad Hasbullah berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan SJR di Tanjung Lumpur di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan.

Iklan

Selain sekatan jalan raya dan sempadan negara, Ahmad Hasbullah berkata, ATM juga membantu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, Johor; Sungai Lui, Selangor dan Menara City One di Kuala Lumpur dengan 20 anggota ditempatkan pada satu-satu masa di samping membuat 'baricade'.

"Kita juga giat membantu dan memantau penghantaran bekalan keperluan termasuk makanan di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak mulai Ahad lalu dan dijadualkan berjalan sehingga Jumaat ini," katanya.

Iklan

Ahmad Hasbullah berkata, sehingga kini, tiada anggota ATM yang dilaporkan positif Covid-19 dan berharap ia dapat dikekalkan supaya tidak wujud kluster jangkitan daripada petugas barisan hadapan ketika PKP.

Pada perkembangan berasingan, Abd Jalil berkata pihaknya mengenal pasti 127 pelancong asing di seluruh Pahang yang mengambil keputusan untuk terus tinggal di negara ini ekoran penularan Covid-19 di negara mereka.

Katanya, mereka terdiri daripada 85 orang yang dilaporkan berada di Pulau Tioman dan 42 orang di Cameron Highlands, berusia antara 20 hingga 80 tahun dan berasal antaranya dari Amerika Syarikat, China, Sepanyol, Itali, Perancis dan Britain.

"Mereka sudah berada di tempat peranginan itu sebelum PKP bermula pada 18 Mac lepas dan merasakan lebih selamat untuk terus tinggal di sini berbanding pulang ke negara asal.

"Ada di antara mereka yang visanya sudah tamat tempoh atau hampir tamat dan kita difahamkan Jabatan Imigresen Malaysia telah dimaklumkan mengenai situasi ini dan bersedia untuk membantu mereka," katanya. - Bernama