PASIR PUTEH - Pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh sempat memberi makan beberapa ekor kucing terbiar semasa melakukan program Sanitasi Awam Koronavirus (Covid-19) Nyahcemar di Pasar Borong Pasir Puteh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, tindakan itu diambil selepas sayu melihat keadaan kucing-kucing itu berada dalam keadaan terbiar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Saya terpanggil berbuat demikian selepas terkesan melihat keadaan kucing-kucing terbiar itu.
"Sebelum ini mungkin banyak kedai makan buka dan sekarang ini semuanya tidak beroperasi tentu menyukarkan mereka mencari makan.
"Alhamdulillah, sejurus diberikan makan kucing-kucing tersebut dilihat kembali bertenaga," katanya.
Menurutnya, apa yang dilakukan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab terhadap haiwan.
"Saya menyeru kepada orang ramai sekiranya ada ternampak kucing-kucing terbiar, berilah mereka sedikit makanan," katanya.