Covid-19 dari haiwan peliharaan tidak jangkiti manusia

Iklan
Orang ramai diminta tidak panik kerana haiwan peliharaan yang dijangkiti koronavirus (Covid-19) tidak akan menjangkiti manusia.

SHAH ALAM - Orang ramai diminta tidak panik kerana haiwan peliharaan yang dijangkiti koronavirus (Covid-19) tidak akan menjangkiti manusia.

Pakar Perubatan Veterinar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Abdul Rahman Omar berkata, kajian yang dilakukan membuktikan Covid-19 adalah sejenis virus yang dipindahkan dari manusia ke manusia.

Iklan
Iklan

Katanya, walaupun sebelum ini media melaporkan terdapat beberapa kes kucing dan anjing mendapat jangkitan Covid-19 itu daripada manusia tetapi haiwan peliharaan itu yang positif pandemik berkenaan tidak menyebarkan virus tersebut.

"Jangkitan dari manusia kepada haiwan peliharaan pun sebenarnya sangat rendah.

Iklan

"Jadi paling penting kita jangan panik dan jangan bertindak melulu termasuk mengambil tindakan kejam dengan membuang kucing," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, kucing didapati tidak boleh terkena jangkitan Covid-19 secara semula jadi bahkan kucing yang disahkan positif wabak itu juga didapati tidak menyebarkan virus berkenaan.

Iklan

Semalam, BBC News melaporkan Harimau Malaya betina berusia empat tahun yang ditempatkan di Zoo The Bronx disahkan dijangkiti Covid-19.

Haiwan diberi nama Nadia itu dipercayai mendapat jangkitan virus itu daripada penjaga zoo berkenaan.

Sebelum ini, beberapa anjing peliharaan di Hong Kong dan seekor kucing di Belgium dilaporkan dijangkiti Covid-19 daripada pemiliknya, namun tidak mengalami simptom yang signifikan.

Jangkitan itu mewujudkan kebimbangan bahawa manusia akan dijangkiti wabak itu melalui haiwan peliharaan mereka.

Dr Abdul Rahman berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana jangkitan terhadap haiwan berbeza malah harimau yang dikesan positif Covid-19 itu tidak mati serta berkeadaan sihat.

Bagaimanapun, menurutnya, amalkan langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan kebersihan yang baik ketika berinteraksi dengan haiwan peliharaan anda, seperti membasuh tangan sebelum dan selepas menguruskan haiwan kesayangan mereka.

Beliau juga menasihatkan agar individu yang disyaki terkena jangkitan wabak berkenaan agar tidak menghampiri binatang kesayangan mereka.

"Mereka boleh meminta orang lain memberi makan dan menguruskan haiwan terbabit," katanya.