KURANG 20 hari lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan bulan Ramadan yang tentunya dengan suasana yang berbeza berikutan penularan wabak Covid-19.
Di Malaysia, selain kemungkinan besar ketiadaan ibadah sunat solat tarawih secara berjemaah di masjid atau surau, keputusan beberapa negeri membatalkan penganjuran bazar Ramadan tahun ini juga tentunya akan membantutkan kelaziman kemeriahan tahunan ini.
Bagaimanapun keputusan itu dilihat telah diterima baik masyarakat yang memahaminya sebagai langkah yang amat wajar diambil ketika ini.
Ia selari dengan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menyeru masyarakat supaya tidak menyertai sebarang bentuk perhimpunan dalam tempoh enam bulan hingga setahun.
Negeri Terengganu, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, dan Sarawak antara negeri yang telah menyatakan pendirian untuk tidak membenarkan bazar Ramadan dianjurkan tahun ini.
Dalam hal itu, tumpuan tentunya diberikan kepada penganjuran bazar Ramadan di ibu negara yang sehingga kini keputusannya dilihat masih lagi samar.
Walaupun ada desakan untuk ia terus dibatalkan, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Annuar Musa dilihat masih kekal tenang dan tidak terburu-buru membuat keputusan kerana mengambil kira 6,000 permohonan yang perlu dipertimbangkan.
Bagaimanapun beliau memberi jaminan akan memperkenalkan beberapa insentif dan empat konsep baru perniagaan di bulan Ramadan dan musim perayaan yang akan diumumkan dalam masa terdekat berdasarkan garis panduan KKM.
Sebalik kewajaran mematuhi penjarakan sosial, bagi penulis ketiadaan bazar Ramadan tahun ini secara tidak langsung mendorong kesan positif lain iaitu mengurangkan pembaziran makanan yang selama ini banyak disumbangkan dari bazar-bazar Ramadan ini.
Media sebelum ini melaporkan bahawa data menunjukkan bazar Ramadan yang besar iaitu antara 200 hingga 300 gerai menyumbang kepada purata 200 kilogram (kg) makanan dibazirkan setiap hari.
Manakala bazar Ramadan bersaiz sederhana mencatatkan purata pembaziran 80 hingga 100 kg sehari.
Angka itu membabitkan makanan yang tidak terjual dan telah mendorong Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengadakan kempen MYSaveFood@Ramadan tahun lalu.
Jumlah itu untuk sehari. Berapa pula jumlahnya dalam sebulan? dan bagaimana pula dengan pembaziran makanan yang telah dibeli?
Tidak dinafikan berpuasa membuatkan kita berkeinginan untuk makan pelbagai jenis juadah.
Justeru, kunjungan ke bazar-bazar Ramadan ternyata mampu mengundang nafsu membeli sehingga ada yang tidak sedar mereka sudah berlebih-lebihan hanya kerana 'teringin' apabila melihat pelbagai menu.
Maka di situlah bermulanya penglibatan kita sebagai penyumbang terhadap kapasiti tong-tong sampah setiap hari.
Maka, tidak hairanlah apabila terdapat kajian menunjukkan sebanyak lebih 15,000 metrik tan (mt) makanan dibuang setiap hari yang mana lebih 3,000 mt terdiri daripada makanan yang masih boleh dimakan.
Menyedihkan bukan?
Jadi, bertitik tolak daripada pembatalan penganjuran bazar Ramadan tahun ini mungkin kita boleh menarik nafas lega dengan beranggapan pembaziran makanan tidak akan berlaku.
Tetapi sejauh mana kelegaan ini dapat diukur kerana kini bazar Ramadan atas talian pula bakal mengambil tempat.
Kuasa membeli masyarakat secara atas talian juga dilaporkan semakin meningkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Bagi peniaga, platform ini tentunya dapat mengawal kuantiti pengeluaran makanan yang dijual setiap hari dengan konsep pra-tempahan sekaligus menyelamatkan ratusan kilogram makanan yang pernah terbuang sejak bertahun-tahun sebelum ini kerana tidak terjual.
Namun, bagi pembeli pula jika pra-tempahan pun dibuat secara berlebih-lebihan, maka nampaknya sia-sialah hikmah pembatalan bazar Ramadan yang mampu mengurangkan pembaziran makanan ini.
Jadi pesan penulis, tidak salah untuk kita tepuk dada tanya selera. Tapi jangan pula kita bertanya kepada tong sampah hari ini nak makan apa.
* Nurhidayah Hairom ialah wartawan Sinar Harian Edisi Nasional