Kucing lebih terdedah dijangkiti Covid-19

Iklan
Penyelidik mendapati kucing lebih mudah dijangkiti Covid-19 selepas dua kes dilaporkan di Belgium dan Hong Kong pada bulan lalu.

KUCING didakwa lebih terdedah dengan jangkitan koronavirus (Covid-19) berbanding anjing.

Perkara itu didedahkan penyelidik di Institut Penyelidikan Veterinar Harbin di timur laut China menerusi artikel diterbitkan dalam Biorxiv.org pada 31 Mac lalu yang mengkaji jangkitan virus itu dan penyebaran dalam kalangan haiwan peliharaan susulan kucing di Belgium dan Hong Kong dilaporkan positif Covid-19.

Iklan
Iklan

Keputusan itu adalah berdasarkan eksperimen makmal yang mana sejumlah haiwan diberikan dos virus Covid-19 (SARS-CoV-2) dan tidak melibatkan interaksi sebenar antara individu dan haiwan peliharaan mereka.

Pasukan itu yang diketuai ahli virologi, Bu Zhigao yang melakukan ujian tersebut ke atas lima ekor kucing domestik dan penyelidik menemui zarah virus berjangkit dan genetik virus (RNA) pada saluran pernafasan dua haiwan yang dimatikan enam hari kemudian.

Iklan

Tiga kucing lain yang diberikan dos virus itu diletakkan di dalam sangkar bersebelahan dengan spesies sama yang bebas jangkitan.

Mereka kemudiannya mengesan zarah virus berjangkit pada salah seekor kucing di sangkar berlainan yang dipercayai disebarkan melalui titisan.

Iklan

Kajian mereka mendapati keempat-empat kucing yang dijangkiti juga menghasilkan antibodi terhadap SARS-CoV-2.

Menurut ahli virologi, Linda Saif dari Ohio State University di Wooster, tiada bukti menunjukkan kucing dijangkiti boleh menyebarkan virus itu kepada orang lain.

Saintis lain bagaimanapun mendakwa masih tiada bukti konklusif yang menunjukkan virus itu boleh disebarkan daripada haiwan peliharaan kepada manusia.

Tetapi, mereka menyarankan supaya haiwan terbabit terus ditempatkan di dalam rumah atau lokasi tertutup untuk mengurangkan risiko ia terdedah kepada jangkitan.

Saintis-saintis menyarankan kepada individu positif Covid-19 supaya tidak membuat kontak rapat dengan haiwan peliharaan mereka sebagai langkah berjaga-jaga.

Ahli virologi daripada Lancaster University di utara England, Muhammad Munir berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan Covid-19 boleh disebarkan antara haiwan.

"Persoalannya adakah boleh berlaku penyebaran antara manusia dan haiwan? Ia adalah penyakit baharu yang baru melanda dunia selama tiga bulan setengah. Oleh itu, kita perlu membuka mata terhadap kesemua kemungkinan,” ujarnya.

Tiada simptom

Linda turut menjelaskan kesemua kucing itu tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan. Hanya seekor daripada tiga kucing yang ditempatkan di sangkar berlainan dijangkiti.

"Ini menunjukkan virus tersebut sebenarnya tidak berisiko tersebar antara kucing,” ujarnya.Tetapi, cara penyebaran itu juga tidak jelas kerana kajian tersebut tidak memberikan butiran bagaimana kedudukan sangkar dan kucing yang bebas jangkitan mungkin mendapat virus itu daripada najis atau air kencing tercemar.

Ahli epidemiologi daripada City University of Hong Kong, Dirk Pfeiffer berpendapat, keputusan ujian itu mungkin boleh dipertimbangkan dalam usaha untuk mengawal Covid-19, namun haiwan tersebut bukan faktor utama dalam penyebaran wabak berkenaan.

"Kita perlu memberi fokus terhadap langkah mengawal Covid-19 untuk mengurangkan risiko penyebaran antara manusia,” ujarnya lagi.

Kajian terdahulu terhadap SARS-Cov yang menyebabkan gejala Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) menunjukkan kucing dijangkiti boleh menyebarkan virus itu kepada kucing yang lain.

"Namun, tiada petunjuk SARS-CoV boleh disebarkan oleh kucing kepada manusia ketika wabak SARS melanda dunia sebelum ini,” jelas Linda.

Penyelidik kajian itu juga mendapati feret juga mudah dijangkiti Covid-19 dan haiwan kecil seakan-akan memerang itu turut dicadangkan sebagai model sesuai untuk ujian vaksin dan ubat-ubatan bagi merawat virus tersebut.

Difahamkan, feret telah dijadikan model untuk kajian influenza dan beberapa makmal sudah mula melakukan kajian Covid-19 ke atas haiwan terbabit.

Anjing kurang berisiko

Anjing bagaimanapun dilaporkan kurang berisiko dijangkiti virus tersebut berdasarkan eksperimen sama terhadap lima haiwan itu dan penyelidik menemui genetik virus (RNA) pada najis mereka, namun tidak mengandungi virus berjangkit.

Penyelidikan mereka juga mendapati ayam, khinzir dan itik tidak terdedah kepada jangkitan wabak tersebut.

Kajian berasingan dilakukan Makmal Idexx berpusat di Washington pula menunjukkan tiada keputusan positif antara kucing atau anjing daripada 3,500 spesimen di Korea Selatan dan kesemua 50 negeri di AS sekali gus menunjukkan Covid-19 hanya disebarkan antara manusia.

Sebelum ini, Hong Kong pernah melaporkan dua ekor anjing disahkan positif virus itu, namun kedua-duanya tidak menunjukkan sebarang simptom yang jelas dan membuktikan penyebaran virus yang terhad ke atas spesies tersebut.

Sementara itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengesyorkan individu yang dijangkiti Covid-19 mengehadkan kontak dengan haiwan peliharaan mereka termasuk tidak membelai atau berkongsi makanan.

Sehingga kini, tiada bukti jelas menunjukkan Covid-19 boleh disebarkan antara haiwan dan manusia. - Agensi