GEORGETOWN - Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini menerima mesin ultrabunyi Mindray M9 bernilai kira-kira RM200,000 daripada pembekal penyelesaian automasi industri, Greatech Technology Bhd.
Timbalan Pengarah HPP, Dr Goh Hin Kwang berkata, mesin itu akan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan dan akan digunakan khusus untuk pesakit koronavirus (Covid-19) yang kritikal.
Iklan
Iklan
"Ini adalah sebahagian daripada kerjasama (kerajaan negeri dan pemain industri) untuk membantu kami memerangi Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri perunding intensivis HPP Datuk Dr Lim Chew Har.
Sementara itu, Dr Lim Chew Har berkata, mesin tersebut penting bagi memantau keadaan jantung pesakit Covid-19 dan juga organ-organ penting yang lain sebelum memberikan jumlah ubat atau cecair yang betul.
"Kami menerima banyak tajaan mesin ventilator, PPE (peralatan perlindungan diri) dan PAPR (alat Respirator Pembersihan Udara Peribadi) tetapi ini mesin ultrabunyi pertama yang ditaja,” katanya.
Beliau berkata, dua mesin berkenaan yang sedia ada di unit ICU hospital tersebut sudah tidak berfungsi dan tidak boleh diperbaiki kerana berusia lebih 10 tahun.
"Kami berterima kasih atas sumbangan mesin baharu ini kerana ia sangat berguna untuk operasi kami,” katanya. - Bernama