KUALA TERENGGANU - Golongan gelandangan di Terengganu akan ditempatkan di beberapa lokasi khusus buat sementara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia dilakukan bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19) dan membolehkan kebajikan mereka diuruskan dengan lebih teratur oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Bagi melakukan operasi secara berperingkat, pihaknya akan turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kesihatan dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
"Untuk peringkat awal seramai 20 orang gelandangan telah dikenal pasti berada di kawasan bandar Kuala Terengganu.
"Mereka yang ditahan akan menjalani ujian kesihatan dan beberapa saringan terlebih dahulu bagi mengenal pasti kategori sama ada mereka normal, mempunyai sakit mental atau terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Hanafiah berkata, bagi gelandangan yang didapati normal dan terlibat dengan penyalahgunaan dadah, akan dibawa ke Marang dan ditempatkan di dua bangunan berasingan yang dikawal oleh pihak polis serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Dalam pada itu katanya, mereka yang didapati sakit mental, akan menjalani rawatan di Hospital Hulu Terengganu ataupun dibenarkan berada di kawasan mereka tinggal dengan pemantauan JKM.
"Bagi kategori gelandangan sakit mental, doktor akan melakukan pemeriksaan yang mana mereka yang tidak agresif dibawa ke hospital tetapi bagi yang agresif, JKM akan menghantar makanan sebanyak tiga kali sehari di kawasan mereka tinggal," katanya.
Sementara itu, dalam operasi mengesan gelandangan di Terminal Bas Kuala Terengganu yang bermula petang semalam hingga malam tadi, seramai 11 orang berjaya ditahan termasuk seorang wanita.
Pengarah JKM Terengganu, Zuhami Omar berkata, kebanyakan mereka berusia antara 30-an hingga 70-an dan daripada jumlah tersebut, seorang didapati positif dadah manakala dua orang lagi mengalami masalah mental.
"Mereka yang didapati mengalami sakit mental telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu. Operasi sebegini akan dilakukan dari masa ke masa bagi memastikan tahap kesihatan mereka juga terpelihara dan pencegahan Covid-19," katanya.
Tinjauan Bernama di lokasi itu mendapati sebahagian gelandangan tersebut enggan mengikut arahan pihak berkuat kuasa malah ada yang cuba melarikan diri. - Bernama