SHAH ALAM – Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menjelaskan tiada penangguhan pembayaran balik ansuran bulanan perumahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.
LPPSA dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan LPPSA yang disubsidikan pada kadar faedah empat peratus iaitu lebih rendah berbanding kadar pembiayaan yang ditawarkan oleh mana-mana institusi perbankan tempatan.
Menurut kenyataan itu lagi, pembiayaan perumahan yang diberikan dengan kadar faedah empat peratus ini juga adalah jauh lebih rendah berbanding kos dana yang diperoleh LPPSA melalui terbitan sukuk iaitu pada kadar antara 4.5 peratus hingga lima peratus.
"Sebarang moratorium atau penangguhan kepada bayaran ansuran bulanan pembiayaan akan memberi kesan kepada aliran wang tunai pihak LPPSA dan melibatkan pinjaman tambahan melebihi RM2 bilion.
"LPPSA bertanggungjawab memastikan kelangsungan dan sumber kewangannya kekal utuh demi memastikan manfaat pembiayaan perumahan dapat terus disediakan kepada penjawat awam yang sedia ada dan yang akan datang,” kata kenyataan itu lagi.
Selain itu, LPPSA menjelaskan tiada penangguhan pembayaran dibuat kerana penjawat awam dan pesara kerajaan masih tetap menerima gaji penuh dan pencen bagi menampung perbelanjaan bulanan termasuk kewajipan bayaran balik pembiayaan perumahan.
"Kebajikan penjawat awam di bawah pakej rangsangan Prihatin tetap menjadi salah satu keutamaan kerajaan melalui pemberian bantuan tunai seperti pembayaran RM500 secara one-off kepada lebih 1.5 juta penjawat awam bagi gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan kontrak serta lebih 850,000 pesara kerajaan bermula April 2020.
"Tambahan pula, bagi penjawat awam yang tergolong dalam golongan B40 dan M40, bantuan juga disediakan melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN) di antara RM500 sehingga RM1,600 yang akan dibayar pada bulan April dan Mei 2020 manakala baki bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) akan dibayar pada bulan Julai 2020,” kata kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan lanjut, boleh dikemukakan kepada LPPSA melalui https://etiket.lppsa.gov.my.