Seludup petrol, minyak masak ketika PKP

Iklan
Azanizam memeriksa petrol yang dirampas di atas bot pancung.

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan empat kes kegiatan penyeludupan petrol dan minyak masak yang cuba dibawa keluar ke Thailand sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, kegiatan itu berjaya dikesan oleh Pasukan Gerakan Am Batilion 7, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan
Iklan

Menurutnya, kes pertama membabitkan rampasan minyak masak berjumlah 510 kilogram (kg) bernilai RM1,275 di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga di Rantau Panjang pada 19 Mac lalu.

"Kes kedua melibatkan penyeludupan 35 tong (875 liter) petrol bernilai RM1,260 di dalam pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero pada 23 Mac lalu manakala tiga tong (15 liter) bernilai RM20.70 pula diseludup menggunakan sebuah kereta jenis Proton Saga pada 28 Mac lalu.

Iklan

"Terbaru membabitkan penyeludupan 12 tong (300 liter) petrol bernilai RM315 dengan menggunakan bot pancung yang ditumpaskan di pangkalan haram Nik Mat Rantau Panjang pada Sabtu lalu menjadikan nilai keseluruhan barangan rampasan berjumlah RM1,592.70,” katanya pada sidang akhbar di Stor Penyimpanan Eksibit KPDNHEP di Chicha Menyabung di sini hari ini.

Azanizam

Beliau berkata, harga jualan runcit petrol dan diesel dalam negara yang murah tiga kali ganda berbanding harga petrol di negara jiran ketika ini menjadi antara punca berlaku kegiatan penyeludupan barangan tersebut.

Iklan

"Harga runcit petrol RON95 di Malaysia adalah RM1.30 seliter manakala harga petrol di Thailand kira-kira 31.90 Bhat atau lebih RM4 menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan menyeludup keluar barangan larangan itu.

"Hasil siasatan terhadap kes-kes penyeludupan petrol mendapati suspek turut menggunakan kenderaan yang diubah suai dengan menambah tangki rahsia di bahagian tapak kaki hadapan dan penumpang belakang,” katanya.

Azanizam berkata, kesemua tiga kenderaan bernilai RM20,500 yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan itu disita untuk tindakan lanjut.

Bot pancung yang digunakan untuk menyeludup petrol dirampas.

"Suspek dan dalang yang terbabit dengan kegiatan itu berjaya melarikan diri namun polis kini giat mencari mereka di mana penguatkuasaan di sempadan negara bersama PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus diperketatkan sepanjang PKP.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1962 kerana pemilikan barang kawalan berjadual dalam syak dan Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan tanpa lesen sah,” katanya.