Sorok di sebalik timbunan timun, nanas

Iklan
Mohd Azmir (tengah) menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas walaupun cuba disembunyikan di bawah timbunan timun dan nanas.

PASIR PUTEH - Tindakan dua lelaki menyembunyikan 1,000 kotak rokok seludup dalam timbunan timun dan buah nanas berjaya dihidu polis apabila mereka dicekup ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Bukit Yong sempena perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, lori berkenaan ditahan ketika melalui SJR itu pada jam 9.15 malam.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan rapi yang dilakukan ke atas lori itu membawa kepada penemuan rokok seludup yang dianggarkan berjumlah RM9,000.

"Rokok seludup itu ditemui di bawah timbunan timun dan buah nanas," katanya.

Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengakui hanya mengambil upah membawa rokok seludup itu ke Kota Bharu bersama timun dan nanas tersebut.

Katanya, sejurus tiba di Kota Bharu, rokok-rokok tersebut akan ditinggalkan dan sebelum diambil oleh pemilik.

Iklan

"Pemandu dan kelindan yang berusia antara 30 serta 40 tahun itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan," katanya.

Mohd Azmir berkata, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Katanya, polis kecewa dengan sikap segelintir individu yang menyalahgunakan kebenaran membawa makanan sepanjang tempoh perlaksanaan PKP.

"Ada dalam kalangan mereka yang cuba mengambil kesempatan.

"Kita akan perketatkan lagi pemeriksaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan," katanya.