SUNGAI PETANI – Segala pergerakan Skuad Badar akan dihentikan sementara sehingga presiden kumpulan itu dibebaskan bagi menghormati dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Ahli Majlis Tertinggi Skuad Badar, Muhamad Farid Nazmi berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan polis yang menjalankan siasatan selain menganggap penahanan orang kuat mereka sebagai salah satu cabaran dalam melaksanakan syariat Islam dan mencegah kemungkaran.
Menurutnya, pelaksanaan pergerakan operasi kumpulan itu kemungkinan akan dijalankan dengan cara dan skop yang berbeza selepas ini.
"Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini yang mana kemungkinan akan merapatkan hubungan Skuad Badar dengan pihak berkuasa dan kami menganggap ia sebagai sesuatu yang positif,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, sepanjang dua tahun kumpulan itu bergerak aktif, tidak pernah sekalipun mereka membelakangkan arahan pihak berkuasa malah setiap kali beroperasi, makluman menerusi laporan polis akan dibuat.
Malah, katanya, semasa ingin melaksanakan operasi sempena tahun baharu 2019, Skuad Badar tidak diberi keizinan pasukan polis, biarpun telah menunggu hampir sejam, menyebabkan mereka akur dengan arahan terbabit serta bersurai.
Setiausaha, Muhammad Faris Na’im pula berkata, penahanan presiden adalah sesuatu yang dijangka sejak awal kumpulan itu bergerak aktif.
"Bukan sebab kami melawan tetapi sedikit bercanggah, namun berlandaskan hukum Islam dan Islam sebagai agama rasmi Malaysia, kami tetap laksanakan tugas sukarela kami demi agama,” katanya.
Menurutnya, dalam usaha menjalinkan kerjasama, Skuad Badar pernah beberapa kali menghantar surat permohonan dan memorandum kepada Pejabat Agama sepertimana yang diminta oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.
Sementara itu, Pendakwah dan Sahabat Skuad Badar, Ustaz Husam Muhamad Baderudin berkata, pihaknya sentiasa menyokong kumpulan itu kerana matlamat penubuhan berkonsepkan amal makruf nahi mungkar bukanlah mudah untuk dilaksanakan pihak lain.
Semalam, media melaporkan Presiden Skuad Badar, Azhar Mohamad direman bagi membantu siasatan berhubung perlanggaran Akta Pertubuhan dan Akta Rahsia Rasmi.
Azhar, 46, ditahan kira-kira jam 10 malam bersama seorang ahli kumpulan sama berusia 30-an, di Pejabat Skuad Badar di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan, presiden pertubuhan itu direman empat hari bagi membantu siasatan.