Apa menanti sepanjang 2019

Iklan
Mereka yang menjadi pemimpin tentu tahu mereka dipilih bukan untuk mengisi jawatan kosong sahaja tetapi bagi berkhidmat untuk rakyat dan negara.

TAHUN 2018 di mana kita menyaksikan beberapa peristiwa mengejutkan sudah berlalu. Rakyat secara mendadak bangun dengan satu suara. Beberapa rekod yang tidak pernah kita bayangkan akan berlaku tercipta.

Parti yang kukuh dan sudah memerintah lebih 60 tahun ditumbangkan oleh parti baharu. Perdana menteri terpaksa berundur dan berhadapan dengan dakwaan yang bertimbun-timbun. Perdana menteri lama membuat kejutan, naik kembali untuk memegang jawatan nombor satu buat kali kedua. Malaysia mendapat timbalan perdana menteri pertama.

Iklan
Iklan

Banyak dasar berubah, banyak proses pelaksanaan bertukar. Tetapi seluruh rakyat bersyukur kerana Malaysia terus aman dan sejahtera. Kini kita sudah masuk ke tahun baharu 2019. Apakah yang menanti kita dalam tempoh 12 bulan ini. Bulan pertama kita sudah dipaparkan dengan peristiwa besar.

Kalau tidak kerana spekulasi media massa, tentunya berita pengunduran DYMM Yang di-Pertuan Agong turut menjadi kejutan. Tetapi kebijaksanaan membolehkan segalanya berjalan lancar. Alhamdulillah.

Iklan

Pada 31 Januari ini kita akan menyaksikan satu lagi peristiwa bersejarah. Agong baharu yang ke-15 mengangkat sumpah menaiki takhta. Insya-Allah. Namun, apa yang berada dalam kerancakan pertumbuhan ekonomi dan nasib masa depan kita selepas itu masih tidak dapat diketahui. Cabaran masih banyak.

Bertambah maju dan makmurkah kita di bawah kerajaan baharu yang mengambil alih ini? Wallahuaklam. Dari segi ekonomi, kita berharap kerajaan, dengan peneraju yang berpengalaman dan berkeyakinan, mampu menerajui negara ke tahap yang boleh dibanggakan.

Iklan

Dengan usaha yang disusun dan mula dilaksanakan kita masih percaya perjalanan kita masih baik untuk mencipta masa depan yang lebih baik dari sebelum ini.

Walaupun telah mengalami keperitan dan kepahitan akibat kesilapan atau ketelanjuran yang dilakukan sebelum ini kita akan mencapai hasrat negara maju lambat laun.

Kalau mustahil tahun 2020, insya-Allah kita usaha dan doakan kita dapat mencapai juga pada 2025. Kesilapan yang sudah berlalu tidak dapat dibuat apa lagi. Hanya sekadar dikesali. Tetapi masa depan kita masih boleh diawasi supaya pengalaman pahit yang lama tidak diulangi.

Tidak ada siapa mahu melihat Malaysia jatuh ke dalam kancah kesusahan lagi. Kita sudah dimaklumkan kerajaan akan memulakan 2019 dengan kekurangan RM35 bilion memandangkan negara perlu membayar balik cukai pendapatan dan cukai barangan dan perkhidmatan.

Tahun ini juga tahun mencabar akibat kekurangan hasil pendapatan dengan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan. Apa lagi pertumbuhan ekonomi sudah pun diramalkan lebih perlahan daripada tahun lalu. Pakar-pakar bidang cukai menunjukkan ke arah cukai dan pendapatan hasil berkurangan.

Bagaimanapun, kita boleh merasa lega dan menaruh sedikit harapan memandangkan harga minyak dijangka lebih meningkat. Kalau kita sedar, harga minyak sudah makin naik sejak awal tahun yang tentunya akan mampu mengurangkan kesan daripada kekurangan hasil akibat pemansuhan GST.

Apa pun, Kita mahu terus maju dan berjaya, dan hidup dalam keadaan harmoni selamanya. Kita telah buktikan kita boleh buat perubahan apabila kita berdiri bersama dan tentukan hala tuju yang kita kehendaki. Tentunya kita mampu lakukan lagi demi masa depan kita dan masa depan anak cucu kita.

Kita percaya kerajaan baharu yang kebanyakan kita pilih untuk mentadbir negara ini tidak akan mengecewakan kita. Kita harap dan percaya segala pertelingkahan akibat perbezaan pendapat dan politik dapat ditanam dalam-dalam kali ini supaya kepentingan rakyat tidak terabai.

Mereka yang menjadi pemimpin tentu tahu mereka dipilih bukan untuk mengisi jawatan kosong sahaja tetapi bagi berkhidmat untuk rakyat dan negara.

Mereka diletak di tempat mereka untuk membaiki segala kerosakan yang dilakukan dan mengatasi segala kelemahan. Sama ada mereka menteri, timbalan menteri, ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan atau apa sahaja jawatan yang diberi, tugas mereka hanya satu; menaikkan taraf hidup rakyat dan menjamin kesejahteraan negara.

Mereka tahu untuk mencapai matlamat yang dihajati, mereka perlu elak membuang masa bercakaran tetapi berkhidmat untuk rakyat. Mereka masih ada lebih empat tahun untuk memperbaiki keadaan dan membuktikan kemampuan serta menanam keyakinan.

Sama ada mereka dapat terus memikat hati rakyat untuk bersama mereka bagi tempoh yang panjang, dan mencapai segala matlamat yang mereka cita-citakan, hanya mereka yang boleh tentukan dengan izin ALLAH.

* Penulis bekas wartawan yang cenderung menulis mengenai pelbagai isu untuk kepentingan rakyat dan negara