KUALA LUMPUR- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memastikan bekalan makanan termasuk beras, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan mencukupi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang masuk minggu ketiga.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia termasuk kerjasama dengan kementerian lain bagi memastikan perkhidmatan logistik, pengangkutan, premis dan kilang yang menyokong rantaian bekalan dan pemasaran makanan dibenarkan terus beroperasi seperti sedia kala.
"Selain itu, saya menyeru kepada para petani, nelayan dan penternak supaya terus menjalankan dan mempertingkat aktiviti masing-masing kerana anda terlibat dalam perkhidmatan perlu atau essential iaitu bekalan makanan.
"Semua usaha dan langkah yang kita ambil ini adalah untuk memastikan kelangsungan ekosistem rantaian bekalan makanan terjamin serta sampai kepada pengguna dengan segera dan dalam keadaan segar juga teratur,” katanya dalam satu pesanan khidmat awam yang disiarkan menerusi stesen televisyen hari ini.
Sebelum ini, kementerian memaklumkan sebanyak 97 pusat Pasar Segar Terkawal (PST) beroperasi di seluruh negara, secara berperingkat sehingga 14 April ini, bagi memastikan kelangsungan bekalan dan mempercekap pengedaran makanan negara.
Kiandee berkata, pihak kementerian juga menggalakkan inisiatif pengedaran bekalan makanan secara dalam talian melalui portal Agrobazaar Online dan di luar talian atau offlline melalui rangkaian outlet-outlet pemasaran terpilih.
Beliau menasihati rakyat Malaysia supaya tidak membuat pembelian panik atau menyimpan stok bahan makanan secara berlebihan.
"Jangan bimbang dan jangan khuatir. Kementerian saya akan terus memantau dan bekerjasama dengan pihak pengeluar, pengedar serta kementerian dan agensi kerajaan lain bagi memastikan bekalan makanan terus berada dalam tahap yang stabil dan terkawal sepanjang tempoh PKP,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian juga akan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh para petani, nelayan dan penternak.
"Saya yakin dan percaya akan kecekalan rakyat Malaysia dalam berhadapan dengan cabaran-cabaran sepanjang tempoh PKP ini. Teruskan duduk di rumah, stay at home dan stay safe,” katanya.-Bernama