"JIKA saudara saudari masih bergerak ke sana ke sini, ke sana ke sini, ke sana ke sini..." Masuk hari ke-23 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anda pastinya ada menerima perkongsian potongan ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diremixkan menjadi lagu ala rap.
Biarpun petikan lagu itu nampak melucukan, namun mesej yang disampaikan amat tegas dan jelas kerana masih ada segelintir rakyat Malaysia yang melanggar arahan PKP sedangkan dari hari ke hari kes-kes membabitkan koronavirus (Covic-19) masih meningkat.
Potongan ucapan yang berulang-ulang itu dipetik dalam perutusan khas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) Tambahan beliau pada Isnin lalu.
Pada perutusan khas itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan untuk semua pakej rangsangan ekonomi di Dewan Rakyat.
Beliau turut memberi jaminan, kerajaan sentiasa telus dalam berbelanja dan semua tindakan yang diambil adalah berasaskan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, laman sosial Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan,sebanyak 88 peratus pesakit yang disahkan positif Covid-19 di Malaysia berada pada tahap satu dan dua. Tahap satu adalah kategori pesakit yang positif dijangkiti tetapi tidak bergejala manakala tahap dua adalah pesakit yang positif dan bergejala ringan.
KKM juga mendapati sebanyak tujuh peratus lagi berada pada tahap tiga dan empat iaitu positif dengan radang paru-paru tetapi tidak memerlukan alat bantuan pernafasan sementara tahap empat adalah pesakit yang positif dengan radang paru-paru dan memerlukan alat bantuan pernafasan.
Lima peratus pada tahap kelima iaitu mengalami sesak nafas dan memerlukan bantuan alat pernafasan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM merekodkan 80 kes Covid-19 yang pulih dan dibenarkan pulang dan jumlah itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan discaj daripada wad adalah sebanyak 1,321 kes atau 33.33 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Dalam keadaan genting seperti sekarang, ingatan serta ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2020 kepada semua wira dan wirawati petugas kesihatan barisan hadapan amat menyentuh hati.
Tugas memerangi musuh tak dapat dilihat ini bukan tugas satu pihak sebaliknya semua pihak sekali.