BANTING - Seorang wanita warga Indonesia ditahan polis kerana memuat naik status menjelikkan terhadap petugas keselamatan yang menjalankan penugasan Op Covid-19 di kediamannya di Taman Delima di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, tangkapan dibuat sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat kira-kira jam 7.30 petang.
"Wanita berusia 25 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat seorang pengadu yang memaklumkan menerima maklumat menerusi aplikasi WhatsApp daripada kenalannya.
"Kenalan pengadu memberitahu ada status bergambar yang dimuat naik dari Facebook pemilik bernama 'Jhuminten Kui Cah'e Koplak',” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Azizan berkata, turut ditahan adalah suami kepada wanita terbabit yang juga warga Indonesia.
"Semakan mendapati kedua-dua mereka berada di Malaysia secara tidak sah apabila melanggari Akta Imigresen 1959/63.
"Polis merampas telefon bimbit milik wanita terbabit untuk siasatan dan mereka disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan," katanya.
Terdahulu, status dimuat naik wanita terbabit tular di media sosial dengan kenyataan menjelikkan dalam dialek Indonesia ketika polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan tugas pemeriksaan Op Covid-19 di Jalan Bunga Pekan, Banting.
Antara perkataan jelik itu adalah 'asu' yang membawa maksud anjing.