KUALA TERENGGAU - Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran susur keluar Ajil, Hulu Terengganu tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, kenderaan rasmi Proton Perdana yang dinaikinya bersama pemandu dan pengawal peribadi remuk teruk akibat terlanggar lembu yang melintas secara tiba-tiba.
Bagaimanapun, kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa untuk menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Hulu Terengganu.
Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, beliau dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Hulu Terengganu malam tadi untuk menghadiri mesyuarat dan beberapa program di kawasan Parlimennya.
"Oleh kerana terlalu ramai yang bertanya, saya kongsikan di sini bahawa saya telah terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) tengah malam tadi.
"Walaupun saya masih terkejut dengan kejadian itu, tugas dan tanggungjawab tetap perlu diteruskan seperti biasa.
"Terima kasih atas semua doa anda buat saya. ALLAH jua yang dapat membalasnya," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan segera sewaktu kejadian, terutama pihak polis dan pasukan peronda LPT2 dan petugas HHT.
Sementara itu, Rosol tetap meneruskan tugas rasminya hari ini dengan menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Terengganu Bagi Menangani Covid-19 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau kemudiannya turun padang bagi meninjau stok bekalan makanan di sebuah kedai pemborong di Kuala Terengganu.