IPOH - Mengambil serius peningkatan kes koronavirus (Covid-19), Balai Polis Kampung Tawas mengambil inisiatif membina terowong nyah kuman sebagai usaha mencegah penularan wabak.
Ketua Polis Balai Kampung Tawas, Asisten Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, alat itu berfungsi sebagai mesin penyembur cecair dan boleh digunakan oleh anggota serta orang ramai yang berkunjung ke balai berkenaan.
"Dalam sehari tak kurang 50 orang awam datang ke balai ini atas pelbagai urusan, kita tak tahu siapa antara mereka yang dijangkiti.
"Jadi dengan adanya terowong nyah kuman ini, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan risiko penularan wabak itu," katanya.
Mesin dibangunkan menggunakan peralatan mudah diperoleh seperti batang paip, kanvas, papan lapis dan mesin pam itu dihasilkan oleh anggotanya sendiri tiga hari lalu.
Ia diletakkan di hadapan pintu masuk balai berkenaan dan mana-mana orang awam yang mahu berurusan perlu melalui terowong itu sebelum dibenarkan masuk.
Beliau berkata, fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, orang awam yang datang ke balai itu dimestikan menggunakan pembersih tangan.
Bagaimanapun katanya, keadaan itu dikhuatiri kurang berkesan kerana tidak menghapuskan kuman yang melekat pada tubuh badan lain.
"Dalam keadaan sekarang, bukan sahaja keselamatan orang awam yang menjadi kepentingan kita, tetapi juga kesihatan anggota-anggota bertugas.
"Penting untuk setiap pegawai dan anggota melindungi diri daripada dijangkiti wabak agar dapat menjalankan tugas selaku barisan hadapan dengan baik," katanya.
Kawasan seliaan Balai Polis Kampung Tawas merangkumi kawasan bersempadanan dengan Chemor, Bercham dan Jelapang yang mempunyai taburan penduduk lebih 80,000 orang.