JPJ bantu PDRM, ATM laksana sekatan jalan raya

Iklan
JPJ akan membantu PDRM dan ATM bagi melaksanakan sekatan jalan raya di seluruh negara.

PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan sekatan jalan raya di seluruh negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut diputuskan pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri yang berlangsung hari ini.

Iklan
Iklan

"Hari ini kita bersetuju dengan permintaan JPJ untuk membantu PDRM dan ATM dalam melaksanakan sekatan jalan raya," katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata, kadar pematuhan rakyat Malaysia terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ialah 97 peratus.

Iklan

"Sebanyak 769 sekatan jalan raya di seluruh negara dilakukan oleh PDRM dan ATM dengan 433,988 kenderaan diperiksa.

"Selain itu, sebanyak 36,980 pemeriksaan mengejut telah dijalankan dan 5,022 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa," katanya.

Iklan

Menurutnya, polis telah menahan seramai 300 individu dalam sekatan jalan raya dan rondaan kerana melanggar PKP semalam.

"Jumlah yang ditangkap semalam menurun berbanding 454 individu pada hari sebelumnya berbanding kelmarin, kadar tangkapan menurun sebanyak 34 peratus.

"Daripada 300 individu yang ditahan semalam, jumlah yang direman ialah seramai 252 orang dan 48 orang lagi telah dijamin. Selain itu, seramai 518 individu dituduh di mahkamah semalam," katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sejak 18 Mac hingga 8 April ialah 7,205 individu.

Katanya, bermula semalam juga, PDRM telah menguatkuasakan tindakan kompaun RM1,000 terhadap mereka yang ingkar PKP.

"Sehingga kini, sebanyak 95 notis kompaun telah diserahkan kepada individu terbabit.

"Mereka yang didapati ingkar PKP akan dibawa ke balai polis sebelum diberikan kompaun dan bayaran tersebut perlu diselesaikan di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh dua minggu selepas tarikh ia dikeluarkan.

"Mereka yang gagal membayar kompaun akan dihadapkan ke mahkamah," katanya.