SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuktikan beliau mendapat sokongan padu daripada rakyat, kata Pengerusi Yayasan Pelajaran Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee.
Beliau berkata, dakwaan DAP bahawa Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional akan ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga tidak berasas.
"Saya dengan tegas dan konsisten menolak penyebaran provokasi DAP yang mendakwa Muhyiddin akan berdepan undi tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
"Malah provokasi dan propaganda DAP kononnya Pakatan Harapan (PH) akan kembali menguasai kerajaan tidak akan menghakis sokongan rakyat terhadap kepimpinan Muhyiddin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, mengambil kira situasi itu, kerajaan wajar segera menyiasat kewujudan 'gunting dalam lipatan' yang terdiri daripada kalangan pembangkang.
"Ada penyokong tegar PH dan DAP yang dikatakan masih menguasai beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kepentingan dalam Khazanah (Khazanah Nasional Bhd) dengan tujuan mensabotaj usaha membangunkan semula ekonomi negara seperti 'gunting dalam lipatan'," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique agar menyiasat tindakan tidak sensitif sebuah firma guaman yang bertindak menganjurkan sebuah seminar khusus untuk satu kaum sahaja.
Katanya, usaha tersebut merupakan satu provokasi untuk memecah-belahkan keamanan dan perpaduan kaum di Malaysia atas nama aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) sesuatu syarikat sedangkan semua masyarakat perlu bersatu padu pada masa ini.