Ramai lebih susah dari kita!

Iklan
Fauzi (kanan) menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

HULU SELANGOR - [DIKEMASKINI]"Kadang kita fikir kita susah, rupanya ada lagi yang lebih susah dari kita," kata seorang kakitangan swasta dan peniaga online, Fauzi Md Isa yang mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan bekalan makanan kepada keluarga kurang berkemampuan di sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa di sini.

Fauzi yang lebih mesra dipanggil Pojie Soeharto berkata, dia mengagihkan lebih 170 pek barangan keperluan makanan kepada keluarga kurang mampu dan terjejas penularan Covid-19 di sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa di sini.

Iklan
Iklan

Dia berkata, sumbangan yang diagihkan itu adalah daripada dana diberikan oleh rakan-rakannya untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.

"Dana yang diberikan oleh rakan-rakan saya kumpul dan beli barangan keperluan asas untuk diagihkan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Iklan

"Alhamdulillah, saya dikurniakan sahabat-sahabat serta rakan yang prihatin, bila saya suarakan niat saya ini ketika Mac lalu, tanpa berbicara panjang mereka terus mahu membantu bagi melancarkan lagi sumbangan ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Antara bantuan yang diagihkan Fauzi kepada mereka yang kurang berkemampuan di sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa.

Fauzi berkata, barangan asas yang disumbangkan ialah beras, gula, minyak, kicap, sardin dan beberapa barangan kering.

Iklan

"Alhamdulillah, setakat ini lebih 170 keluarga asnaf dan kurang berkemampuan telah menerima sumbangan ini," katanya.

Katanya, penerima sumbangan dipilih berdasarkan maklumat yang diberikan oleh rakan-rakannya di sekitar kawasan itu termasuk kepada masyarakat orang asli di sekitar Kuala Kubu Bharu.

"Mereka yang menerima sumbangan ini terdiri daripada pekerja yang hilang pekerjaan ketika wabak Covid-19 ini, ada juga yang tak dibayar gaji, pemandu lori dan pelbagai lagi.

"Bila saya buat kerja kebajikan macam ni, secara langsung ia mengajar saya akan erti bersyukur," katanya.

Fauzi berkata, dia menerapkan nilai bantu membantu antara satu sama lain semasa melakukan kerja kebajikan.

"Selalu saya tekankan dalam diri, suatu hari kita kena bantu mereka yang susah. Jika hari ini kita terima bantuan, kita tak boleh selamanya menerima, kita perlu berusaha agar satu hari kita pula yang memberikan kepada orang lain yang memerlukan," katanya.