Tujuh rumah kedai musnah terbakar

Iklan
Asap tebal memenuhi ruang udara pekan lama Pokok Sena berdekatan Sekolah Kebangsaan Wan Abdul Samat. (FOTO: ehsan pembaca)

POKOK SENA - Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara pekan lama Pokok Sena apabila tujuh buah rumah kedai sederet musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.

Kejadian yang berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Wan Abdul Samat, sekitar jam 12.10 tengah hari itu bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa mahupun kecederaan.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufa'at Kamaron berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.18 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian seminit kemudian.

"Kebakaran melibatkan tujuh buah rumah kedai dua tingkat kelas B, yang rata-ratanya diperbuat daripada kayu. Peratus kemusnahan adalah antara 60 hingga 95 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kelihatan api marak memusnahkan tujuh buah rumah kedai sederet yang diperbuat daripada kayu. (FOTO: ehsan pembaca)

Iklan

Menurutnya, kedai yang musnah adalah sebuah premis menjual kusyen, sebuah premis menjual peralatan sembahyang Cina dan lima premis yang dijadikan sebagai kediaman.

"Anggaran kemusnahan tiga premis melibatkan kedai kusyen, kedai peralatan sembahyang serta sebuah premis yang dijadikan kediaman terbakar hampir 95 peratus. Tiga buah kedai lagi terbakar lima peratus manakala sebuah lagi sehingga 60 peratus musnah,” katanya.

Iklan

Syufa'at berkata, kerja pemadaman api dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, BBP Kuala Nerang dan BBP Alor Setar serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pokok Sena, PBS Simpang Empat serta PBS Tunjang.

"Api berjaya dikawal, namun punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.