PUTRAJAYA - Persatuan pemberi pinjaman wang atau kredit ekonomi bersetuju memberi moratorium selama tiga bulan dan mengecualikan caj kelewatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, ia susulan perbincangan dengan persatuan berkenaan susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Langkah Tambahan Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin-Tambahan) yang diumumkan pada 6 April lalu.
Iklan
Iklan
"Namun syarikat kredit komuniti itu diingatkan tidak mengenakan caj faedah melebihi yang ditetapkan dalam Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) iaitu sebanyak 12 peratus bagi pinjaman bercagar dan 18 peratus bagi pinjaman tidak bercagar kepada peminjam sepanjang tempoh PKP," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Zuraida, kementeriannya menerima banyak pertanyaan daripada orang awam mengenai perkhidmatan kredit komuniti dan pajak gadai.
"Kerajaan bersetuju agar premis syarikat kredit komuniti dan pajak gadai dibenarkan beroperasi selama dua hari seminggu dari 9 pagi hingga 2 petang sahaja.
"Pihak berkenaan diingatkan agar mematuhi arahan dan peraturan sepanjang tempoh PKP.
"Orang awam dan syarikat PKS yang terlibat boleh mendapatkan maklumat dan perkhidmatan KPKT yang lain di talian hotline KPKT iaitu 03-88913975," katanya.