PUTRAJAYA - Bekas pesakit Covid-19 digalakkan untuk menderma plasma bagi tujuan penyelidikan terhadap wabak tersebut.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian saringan akan dilakukan terhadap penderma sebelum prosedur pengambilan plasma dimulakan.
"Kita menggalakkan tetapi mereka perlu lalui proses saringan seperti saringan Covid-19 dan penyakit berjangkit lain," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Menurutnya, hanya plasma yang diambil daripada penderma dan darah merah akan dipulangkan semula.
"Darah mempunyai dua komponen iaitu darah merah dan plasma.
"Kita perlukan adalah plasma manakala darah merah dipulangkan, jadi penderma tiada rasa kekurangan darah," katanya.
Beliau berkata, plasma tersebut akan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
"Jika kepekatan antibodi bekas pesakit itu tinggi, besar kemungkinan kita akan menggunakan plasma bekas pesakit itu untuk merawat pesakit lain,” katanya.