SEPANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menguatkuasakan tindakan kompaun RM1,000 terhadap mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula semalam.
Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman, Datuk Abdul Razak Elias berkata, tindakan itu juga dapat memberi peringatan dan pengajaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP.
"Jika orang ramai mampu membayar kompaun itu, namun mereka harus ingat nama individu itu sudah ada dalam senarai rekod polis.
"Ia juga akan menyusahkan individu berkenaan untuk melaksanakan proses pentadbiran, pengurusan dan perniagaan,” katanya selepas meninjau Sekatan Jalan Raya di sekitar jalan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Abdul Razak berkata, tujuan tinjauan itu adalah untuk melihat isu berkaitan kebajikan dan logistik anggotanya.
"Saya telah turun padang melihat sendiri masalah yang seringkali dibangkitkan oleh anggota dan pegawai yang terlibat dalam tugasan sebagai ‘frontliner’.
"Saya dimaklumkan bekalan topeng muka serta sarung tangan mencukupi untuk pegawai dan anggota yang bertugas,” katanya.
Sementara itu, Abdul Razak turut memaklumkan, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah telah dikuarantin.
"Penugasan yang rapi telah dilaksanakan dengan baik oleh Zulkifli walaupun beliau dikuarantin, oleh itu tidak berlaku pertindihan tugas sepanjang tempoh PKP,” katanya.
Terdahulu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan pengeluaran kompaun kepada pesalah PKP itu akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard ( SOP) yang ditetapkan.
Acryl memaklumkan individu yang didapati ingkar PKP akan dibawa ke balai polis sebelum diberikan kompaun dan bayaran kompaun perlu diselesaikan dalam tempoh dua minggu selepas tarikh ia dikeluarkan.