SHAH ALAM - Kekeliruan ramai pihak berhubung isu Ahli Parlimen dan orang kenamaan yang dikatakan turut menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dianggap selesai selepas penjelasan diberikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, isu timbul apabila kelulusan BPN itu dibuat secara automatik.
Beliau berkata, kelulusan penerima BPN adalah berdasarkan kepada data taksiran pendapatan individu tersebut pada 2018 dalam rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).
"Bagaimanapun beberapa Ahli Parlimen yang tersenarai telah memulangkan wang BPN yang diterima kepada LHDNM.
"Dengan penjelasan ini, diharap kekeliruan yang menjadi buah mulut sejak beberapa hari lalu bertemu jalan penyelesaian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN] - Ahli Parlimen terima BPN berdasarkan data cukai 2018
Terdahulu, LHDNM memberitahu Ahli Parlimen dan orang kenamaan yang menerima BPN mendapat kelulusan secara automatik berdasarkan data taksiran pendapatan individu berkenaan pada 2018 melalui rekod pihaknya.
Bagaimanapun, LHDNM menyambut baik Ahli Parlimen yang secara sukarela memulangkan bayaran BPN itu dan berbuat demikian mengikut prosedur dengan mengemukakan surat penolakan dengan menyatakan nama penuh dan nombor MyKad.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, dalam suasana hari ini, kerajaan serta semua pihak terlibat sedang mengambil langkah yang difikirkan paling sesuai untuk semua rakyat berbagai peringkat.
"Ia sememangnya belum mencapai tahap kesempurnaan yang diingini, tetapi ia semestinya antara usaha yang terbaik," katanya.