SHAH ALAM - Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini adalah waktu paling sesuai kepada usahawan menilai semula bentuk perniagaan yang memberi impak lebih positif sebaik sahaja penularan wabak koronavirus (Covid-19) berakhir.
Pengasas Kumpulan Brainy Bunch, Kumpulan Raudhah dan Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim mendedahkan, terdapat 20 jenis perniagaan dijangka berpotensi besar dan membawa pulangan lumayan untuk direbut golongan itu pada pasca Covid-19.
Menurutnya, antara jenis perniagaan itu adalah perkhidmatan sanitasi bangunan dan pejabat; bisnes peruncitan komuniti; perkhidmatan penghantaran; produk meningkatkan sistem imunisasi tubuh badan; industri pelancongan domestik; pembangunan laman sesawang; pengurusan tadika dan sebahagian besar sektor berasaskan sekuriti makanan.
"Sebenarnya ada beberapa lagi jenis perniagaan berpotensi besar untuk direbut para usahawan pada pasca Covid-19 kelak, namun saya fikir penyenaraian beberapa bidang di atas sudah memberi peluang cukup luas kepada mereka.
"Bagi saya, pada ketika ini antara jenis perniagaan paling penting untuk direbut usahawan adalah sektor berasaskan sekuriti makanan di mana negara kita terlalu bergantung kepada import bekalan bahan mentah berjumlah lebih RM50 bilion setahun.
"Dengan faktor persekitaran dan cuaca baik, negara kita sebenarnya boleh mencipta rantaian pembekalan makanan mencukupi dan sekiranya pelaksanaan projek pertanian bersifat komuniti dijadikan tumpuan utama, saya yakin objektif itu mampu terlaksana," katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Siri 164 bertajuk Covid-19: Jangan Putus Asa, Malaysia! yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian malam ini.
Wacana tersebut turut dibarisi panelis, Nabila Huda Suhaimi yang juga merupakan seorang pelakon dan penulis dengan Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.
Mohd Fadzil berkata, usahawan tempatan juga boleh mempertimbangkan pelaksanaan jenis perniagaan menyediakan bekalan makanan asas serta peralatan kesihatan seperti topeng muka, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman pada masa hadapan.
Menurutnya, dua bisnes itu dilihat mendapat permintaan tinggi rakyat sepanjang tempoh PKP dilaksanakan sekali gus menunjukkan ia sektor penting sepanjang masa.
"Bagi saya, usahawan kena lihat tempoh ini sebagai ruang membaiki semula asas perniagaan serta menyelaras kembali strategi perniagaan masing-masing untuk menghadapi pasca Covid-19.
"Paling penting, semua usahawan negara ini perlu ada pemikiran positif dan jangan mudah berputus asa dalam mendepani cabaran sepanjang tempoh PKP dan pandemik Covid-19 ketika ini," katanya.