SHAH ALAM- Keprihatinan seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu menyelamatkan seekor anjing yang terperangkap dalam sebuah longkang besar, di sini mendapat perhatian netizen apabila rakaman video aksinya itu dimuat naik ke laman sosial, Facebook lalu tular.
Koperal (F) Azad Azady Mohamad Tarmizee berkata, dia segera turun ke dalam longkang itu selepas mendapati haiwan berkenaan cuba naik ke atas tebing longkang tersebut dengan mengaiskan kakinya.
"Niat saya memang nak selamatkan anak anjing tu, jadi saya terus terjun dalam longkang bila terdengar bunyi anjing itu mengais kakinya untuk naik ke atas,” ujar anggota berkenaan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.
Menurut Azad Azady, ketika kejadian itu dia baru sahaja dua jam memulakan tugas pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan Jalan Keluli, Seksyen 7, Shah Alam.
Dia sendiri tidak menyangka gelagatnya menyelamatkan seekor anak anjing itu tular sejak ia dimuat naik di laman Facebook, semalam.
Sehingga kini video berdurasi 1 minit 37 saat yang dimuat naik oleh rakan setugasnya, Koperal Ezam Ramli itu telah mendapat 25,000 likes, serta 6,000 komen dan sudah dikongsi lebih 21,000 pelayar laman sosial itu.
"Saya terkejut bila kawan-kawan mula menghubungi saya bertanyakan tentang video malah ada juga mengucapkan tahniah, baru saya tahu video itu telah viral,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, malam tadi.
Dalam video berkenaan, memaparkan anggota polis berkenaan masuk ke dalam sebuah longkang yang berair sedalam kira-kira dua meter untuk mengangkat anak anjing itu ke atas tebing.
Tindakan spontan anggota berkenaan ternyata mendapat perhatian dan pujian daripada netizen terhadap keprihatinan yang ditunjukkannya itu.
Pemilik akaun Facebook Gopal Ram misalnya menitipkan komen, mahu tindakan seperti itu dicontohi oleh semua orang dan menyifatkan anggota polis tersebut berhati mulia.
Seorang netizen, Ahmad Nor pula berkata, anjing juga berhak untuk hidup dan tidak wajar diabaikan kerana ia adalah ciptaan Tuhan.
Sementara Edward berharap, anggota polis itu diberikan penghargaan oleh PDRM atas sifat prihatinnya terhadap binatang berkenaan.