BINTANG Barcelona, Lionel Messi menafikan khabar angin bahawa dia akan berpindah daripada kelab itu dan menyertai pasukan Serie A, Inter Milan pada jendela perpindahan akan datang.
Messi dalam satu hantaran di akaun Instagramnya memuat naik gambar laporan perpindahannya itu yang disebarkan oleh sebuah media antarabangsa dan turut menyertakan tanda pagar berita palsu.
"Pembohongan pertama,” tulis Messi yang turut menafikan dia akan berpindah ke Inter bersama pemain dari pasukan Vélez Sarsfield, Thiago Almada.
Dalam hantaran instagram yang sama, Messi turut menafikan dia membayar wang jaminan untuk membebaskan bekas rakan sepasukannya Ronaldinho dari penjara seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Sementara itu, bekas Pengarah Barcelona, Ariedo Braida tidak melihat sebarang peluang untuk Inter mendapatkan khidmat Messi musim depan.
Menurutnya, pemain kelahiran Argentina itu sudah terlalu selesa di Camp Nou dan tidak akan berpindah sehingga kariernya berakhir.
"Messi terlalu bahagia di Barcelona dan amat mustahil untuk dia berpindah dari kelab itu. Dia menjadi watak penting dan kesayangan buat Barcelona.
"Kelab itu (Barcelona) menjadi kelabnya sejak remaja lagi dan mempunyai gaji yang sangat besar. Saya tidak rasa dia mempunyai niat untuk berpindah.
"Jadi, Inter tidak perlu berangan dan menghabiskan masa untuk cuba mendapatkan Messi kerana semua orang tahu apa jawapan yang akan diberikan pemain itu," katanya.
Berita perpindahan tersebut bertiup kencang beberapa hari kebelakangan ini selepas bekas presiden Inter, Massimo Moratti yang yakin pasukan Serie A itu akan berjaya mendapatkan Messi pada jendela perpindahan pemain akan datang.
Selain faktor kontrak Messi yang hampir tamat pada 2021, pemenang enam kali Ballon d'Or itu dilaporkan mempunya hubungan kurang baik dengan pengurusan pasukan selepas dia mengkritik pemotongan gaji yang dilakukan oleh kelab itu susulan wabak koronavirus (Covid-19).