BENTONG - Pengurusan Penjara Bentong mengambil inisiatif melakukan proses sanitasi di penjara itu semalam sebagai langkah pencegahan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Pengarahnya, Datuk Muhammad Zuki Muhammad Zain berkata, operasi sanitasi berkenaan dilakukan sebagai langkah pencegahan walaupun buat masa ini tiada kes jangkitan Covid-19 membabitkan banduan dan kakitangan penjara itu.
Iklan
Iklan
"Seramai 53 petugas terdiri daripada 33 anggota bomba dan 20 anggota penjara terlibat dalam proses sanitasi yang diketuai oleh Pegawai Hazmat Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Mohd Kamaruddin Mohd.
"Operasi selama dua jam melibatkan semua kawasan di dalam penjara iaitu blok-blok penghuni, pejabat, kantin, surau dan semua kawasan yang mudah disentuh penghuni-penghuni penjara," katanya.
Muhammad Zuki berkata, pihak penjara sentiasa mengambil langkah- langkah awal pencegahan Covid-19 termasuk melakukan saringan suhu setiap kakitangan yang masuk dan penggunaan terowong sanitasi.
"Sebagai langkah-langkah pencegahan, kakitangan juga diarahkan supaya tidak keluar setelah habis bertugas dan hendaklah berada di rumah masing-masing," katanya.
Sementara itu, Mohd Kamaruddin memberitahu, pelaksanaan sanitasi itu dijalankan mengikut prosedur ditetapkan sebagai langkah pembasmian Covid-19.