KUALA LUMPUR - Penjenayah yang ditembak mati selepas menjadikan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tebusan di satu daripada unit rumah sebuah blok apartmen Telipok Ria, Kota Kinabalu, Sabah, disyaki pendatang asing tanpa izin (Pati).
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata identiti sebenar suspek belum dapat dipastikan berikutan tiada pihak yang tampil memberi maklumat mengenai latar belakang lelaki itu.
Iklan
Iklan
"Saya dimaklumkan suspek adalah Pati...kita masih belum dapat motif sebenar kejadian dan siasatan masih berjalan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan semua jabatan peringkat Bukit Aman di sini hari ini.
Pada Ahad lepas, penghuni apartmen itu kecoh dan berada dalam keadaan cemas apabila dikejutkan dengan insiden seorang kanak-kanak perempuan dijadikan tebusan oleh seorang lelaki tidak dikenali.
Polis Sabah bertindak segera melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek selepas dia mahu mencampak kanak-kanak itu dari tingkap dapur rumah tersebut.
Suspek maut di lokasi kejadian dan kanak-kanak perempuan itu dapat diselamatkan.
Terdahulu, Mohamad Fuzi menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 47 pegawai dan anggota polis sebagai menghargai semangat kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian mereka kepada negara.