RAWANG - Penduduk Blok Cempaka Taman Tun Teja di sini menarik nafas lega apabila masalah terputus bekalan elektrik dan air dihadapi mereka sejak Isnin lalu akhirnya selesai.
Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Blok Dahlia dan Cempaka Taman Tun Teja, Yusop Md Ramli berkata, kontraktor berjaya menyelesaikan masalah bekalan elektrik malam tadi sementara kerosakan berkenaan dibaiki sepenuhnya.
"Alhamdulillah berkat doa Nisfu Syaaban, pertolongan dan muafakat penduduk setempat, bekalan elektrik dan air kembali buat sementara.
"Lebih tiga hari kami bersusah-payah dengan tiada bekalan asas, memang amat sukar dengan ujian ini lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Semoga ujian ini dapat berikan hikmah baik untuk kita semua," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Semalam, Sinar Harian melaporkan penghuni di 300 unit di Blok Cempaka berdepan masalah ketiadaan bekalan air dan elektrik selepas berlakunya kebakaran motosikal di bawah blok menyebabkan kabel elektrik berhampiran turut terbakar.
Penduduk bukan hanya terpaksa bergelap, malah perlu mengangkut air dari tingkat bawah susulan pam air tidak berfungsi disebabkan tiada bekalan elektrik.
Yusop berkata, pihaknya sedang cuba mendapatkan dana kos baik pulih kerosakan bekalan elektrik itu yang dianggarkan bernilai RM100,000.
"Untuk pembaikan sementara ini sebanyak RM25, 000 telah dikeluarkan menggunakan dana JMB. Untuk pembaikan penuh kami perlukan sokongan dari Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen. Selain itu kami ada memohon tuntutan insurans juga.
"Jika keadaan mendesak, kami mungkin terpaksa memohon sokongan dari kerajaan negeri. Penduduk sebelum ini menjelaskan bil penyelenggaraan RM50 sebulan, namun kutipan itu belum cukup bagi menampung kos pembaikan itu," katanya.