GUA MUSANG - [DIKEMASKINI] Bayi perempuan yang maut dilanggar kereta ibu pengasuhnya, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Taman Kesedar Putra, di sini, jam 2.45 pagi tadi.
Jenazah Aamina Inayah Mohd Hafezul, satu tahun lima bulan, dituntut keluarganya di Bilik Forensik Hospital Gua Musang (HGM) pada jam 1 pagi.
Menurut bapanya, Mohd Hafezul Abdullah, 35, pada awalnya keluarga merancang untuk menguruskan proses pengebumian pada petang semalam.
Namun katanya, berlaku kelewatan dalam proses bedah siasat dimana ia dibuat kira-kira jam 11 malam.
Isterinya, Khazarina Sharing, 33, tiba di Gua Musang pada jam 4 petang selepas bertolak dari Arab Saudi pada jam 9 malam, kelmarin.
"Alhamdulillah, walaupun berlaku kelewatan, namun ia dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.
"Saya dan isteri reda diatas pemergian ini walaupun perit tambah-tambah lagi, Aamina masih kecil dan kami menunggu kelahirannya hampir tujuh tahun," katanya.
Selain Aamina, pasangan ini mempunyai seorang anak berusia lapan tahun dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wangi 2.
Sementara itu, Khazarina yang juga jururawat di Arab Saudi berkata, biarpun menerima dengan hati yang terbuka, namun jauh di sudut hatinya, dia masih belum puas bermanja dengan bayinya itu.
"Kali terakhir saya bermanja dengan Aamina pada 3 Januari lalu apabila suami membawanya ke Makkah. Saya bertugas di sana sudah enam tahun.
"Saya bertolak pulang ke Malaysia pada jam 9 malam dan tiba di Kuala Lumpur pada jam 12 tengahari. Kemudian bergerak ke Gua Musang dan tiba jam 4 petang. Sepanjang jalan saya memikirkan Aamina.
"Namun saya percaya, perancangan ALLAH SWT adalah yang terbaik, saya reda..," katanya yang melahirkan Aamina di KPJ Ipoh.
Urusan pengebumian Aamina turut dihadiri keluarga terdekat.
Isnin lalu, Aamina Inayah maut dilanggar kereta ibu pengasuh, Che Jah Yaacob, di garaj rumahnya di Taman Kesedar Putra.
Bagaimanapun, Aamina disahkan meninggal dunia di HGM selepas setengah jam menerima rawatan.