KOTA BHARU - Rakyat Kelantan dinasihatkan tidak membuat aduan di laman sosial Facebook sekiranya menghadapi masalah atau memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sebaliknya mereka perlu merujuk kepada wakil rakyat atau penghulu kampung bagi memastikan masalah dihadapi itu dapat diselesaikan.
"Kalau ada bantuan yang tidak sampai, rujuklah pada penghulu atau wakil rakyat masing-masing. Jangan hanya pandai tulis di Facebook. Mereka bukan tahu pun masalah kita kalau tulis di Facebook.
"Kalau ada yang tertinggal dalam senarai, jadi rujuklah pada mereka. Sebagaimana yang kita (kerajaan negeri) beritahu, kita utamakan mereka yang tidak mampu.
"Mungkin kita tidak dapat sebab kita masih mampu beli makanan, ada duit dan sebagainya. Sebab itu, kita (kerajaan negeri) utamakan yang tak ada duit ini dulu," katanya.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan telah memberikan bantuan yang sepatutnya kepada seluruh rakyat dan sumbangan daripada kerajaan negeri adalah sebagai inisiatif tambahan.
"Apa yang penting, kerajaan Pusat sudah beritahu, kena pastikan makanan ada atas meja. Sebab itu, kita tolong orang yang betul-betul susah dulu. Yang ada duit dan ada makan itu peringkat lain," katanya.
Mohd Amar turut menasihatkan orang ramai supaya membuat laporan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi memastikan semua urusan dapat dilaksanakan dengan baik.