SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Keputusan kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April depan bertepatan dengan situasi semasa wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.
Pakar Kesihatan Persekitaran dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, terdapat pertambahan kawasan zon merah selain peningkatan kes baharu membabitkan kluster warga asing dan luar negara.
"Sebenarnya kita perlukan masa tiga bulan (PKP). Misalnya China, sudah berapa bulan pun masih lagi ada kes.
"Kita ada kluster baharu seperti warga asing dan dari luar negara yang kita masih lagi menyaring mereka. Semalam sudah lebih 400 warga asing yang positif Covid-19.
"Jadi kalau perkara asas belum selesai lagi, tidak mungkin kerajaan akan berhentikan PKP,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Dr Haliza berkata, tempoh PKP boleh ditamatkan jika kadar pematuhan mencapai 100 peratus dan tiada lagi kes baharu dilaporkan atau berada di tahap paling minimum.
Oleh sebab itu menurutnya, kerajaan mengumumkan bantuan tertentu termasuk penangguhan bayaran pinjaman bank selama enam bulan.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/ Biostatistik) Jabatan Mikro biologi dan Parasitologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, Profesor Madya Dr Malina Osman berpandangan secara mutlaknya, PKP hanya akan berakhir selepas negara memperoleh vaksin dan rawatan untuk Covid-19.
Beliau berkata, secara mutlak bermaksud sebahagian besar komuniti sudah menerima suntikan vaksin berkenaan.
"Tetapi dalam keadaan hari ini, kerajaan ambil keputusan dengan mengimbangi keperluan kesihatan tanpa membelakangkan keperluan ekonomi.
"Pada pandangan saya, tujuan PKP adalah bagi melambatkan penularan dalam masyarakat sementara menunggu vaksin dan perawatan Covid-19.
"Selain itu, kita semua dapat mengadaptasi satu tingkah laku penjarakkan sosial dengan lebih mantap,” katanya.
Dr Malina berkata, pelaksanaan PKP berkemungkinan dilonggarkan sekiranya kes semakin menurun dan masyarakat sudah bersedia untuk membudayakan amalan pencegahan terutama penjarakkan sosial.
Menurutnya, tempoh lanjutan PKP ketika ini merupakan masa terbaik untuk masyarakat mendisiplinkan diri dan mengubah tingkah laku.