Pahala jika patuh PKP: Mufti Pulau Pinang

Iklan
Wan Salim Wan Mohd Noor

GEORGETOWN - Umat Islam yang patuh dan sentiasa bersabar dalam menghadapi kesusahan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diberi ganjaran pahala besar.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, umat Islam dinasihati supaya terus tabah dan bersabar dalam menghadapi ujian berat iaitu ancaman wabak koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mematuhi segala perintah kerajaan demi kebaikan semua pihak.

"Dengan pengumuman lanjutan PKP oleh Perdana Menteri tadi, ia bermakna semua umat Islam akan menyambut Ramadan dalam keadaan tidak selesa dan perlu berada di rumah masing-masing. Ini kerana sepanjang tempoh ini, masjid dan surau akan terus ditutup dan orang ramai tidak boleh menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid atau surau.

Iklan

"Menurut hukum Islam, rakyat diwajibkan mematuhi segala perintah kerajaan selagi tidak disuruh melakukan maksiat terhadap ALLAH S.W.T. PKP ini bertujuan untuk mencegah penularan wabak Covid-19 yang mengancam nyawa manusia yang mana, memelihara jiwa manusia adalah tuntutan agama Islam itu sendiri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Mengulas mengenai solat tarawih yang akan diadakan di rumah, Wan Salim berkata, ALLAH S.W.T tetap mengurniakan ganjaran kepada hamba-Nya walaupun tidak dilakukan di masjid atau surau.

Iklan

"Jika kita ikhlas dalam menunaikan ibadah, kita akan dikurniakan ganjaran oleh-Nya walaupun tidak dilakukan di masjid atau surau. Memang benar, sebagai Islam yang beriman, hati kita sentiasa terpaut dengan masjid dan surau untuk beribadat kerana sebagaimana diketahui bahawa pahala mengerjakan solat secara berjemaah melebihi solat bersendirian.

"Namun ALLAH S.W.T Maha Kuasa, Dia tetap akan memberikan pahala yang sama kepada kita walaupun menunaikan kewajipan solat dan ibadah lain di rumah, demi menghindari jangkitan wabak Covid-19. Bagi solat sunat tarawih pula, ada ulama berpendapat ia lebih afdal dijalankan di rumah walaupun ada yang berpendapat sebaliknya," katanya.

Wan Salim berkata, beliau percaya dengan apa yang berlaku, pasti ada hikmah di sebalik kejadian.

"Tentu banyak hikmah yang tersembunyi di sebalik kejadian ini. Hikmah ini akan tersingkap bagi sesiapa yang suka mengamati sesuatu dengan fikiran yang tajam dan hati yang bersih.

"Semoga ALLAH S.W.T melindungi kita semua daripada ancaman wabak yang merbahaya ini dan menghapuskannya dalam masa terdekat. Selain itu, semoga kita dikurniakan ganjaran pahala yang besar kerana kesusahan yang dihadapi sepanjang tempoh PKP ini," katanya.