SHAH ALAM - Umat Islam bakal menyambut bulan Ramadan pada 23 April ini semasa dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan pada 28 April.
Pengumuman lanjutan PKP dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini sedikit sebanyak membuatkan umat Islam berduka kerana tidak berpeluang menyambut bulan Ramadan bersama ahli keluarga terutama ibu bapa di kampung.
Lebih membimbangkan, kata pelayar Twitter dikenali @mohdkautharr, kini para suami juga perlu bersedia mengalas tanggungjawab sebagai imam bagi menunaikan solat tarawih di rumah susulan pelaksanaan PKP.
"Suami-suami dah boleh mula fikir nak baca surah apa untuk tarawih ni, kenalah pelbagaikan surah sedikit," ciapnya yang pantas menarik perhatian netizen.
Baru 30 minit menciap status itu di Twitter, rata-rata netizen bersetuju dengan pandangan lelaki tersebut dan menyifatkan ia adalah perkara baik perlu dilakukan di rumah selain mengeratkan hubungan silaturahim.
Kata Hilal Asyraf, para suami boleh memilih pelbagai surah yang terdapat di dalam al-Quran.
"Juzu'30 banyak je, surah-surah boleh diulang," guraunya manakala kata Syahir Sulaiman,"Kena tanya makmum, nak tarawih panjang atau 'ekspress'..."
Ada juga mereka menceritakan pengalaman menjadi imam ketika di bangku sekolah hingga menjadi kenangan apabila meningkat dewasa.
"Pernah dulu jadi imam solat Asar sekolah rendah, rakaat kedua bangun, lupa tahiyat awal terus semua gelak," ciap Haikal.
Sehingga jam 6.30 petang, ciapan itu terus meningkat dan kini lebih 200 ciapan dan lebih 400 tanda suka dari netizen.