SEREMBAN - Sebanyak 193 keluarga masyarakat orang asli dari Kampung Orang Asli Tekir dan Kampung Orang Asli Sebir di sini, menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan wang tunai bagi membantu meringankan beban ditanggung mereka susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sumbangan daripada sektor korporat dan orang ramai menerusi Misi Bantuan Tabung Musa’adah Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu adalah bagi memastikan tiada individu yang tidak mempunyai makanan sepanjang tempoh PKP.
Iklan
Iklan
"Setakat ini, kita sudah merentasi lima negeri iaitu Pahang, Perak, Kelantan, Terengganu dan hari ini di Negeri Sembilan. Insya-ALLAH akan ke Melaka, Johor dan negeri lain.
"Kita cuba santuni mereka yang terjejas dan menghadapi pelbagai kesusahan termasuk kesukaran untuk bekerja disebabkan PKP,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian misi sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 Jakim di sini hari ini.
Daripada 193 keluarga, 153 keluarga adalah dari Kampung Orang Asli Tekir manakala 40 keluarga dari Kampung Orang Asli Sebir.
Dalam pada itu Zulkifli berkata, menjalani ibadah puasa di rumah berikutan pelaksanaan PKP pada bulan Ramadan adalah satu perjuangan dan mujahadah bagi umat Islam.
"Puasa ini adalah menahan diri. Insya-ALLAH kita akan dapat kebaikan. Nasihat saya, kita belajar, kita faham dan lakukan ibadat di rumah dengan berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya,” katanya. - Bernama