KUCHING - Pengusaha taska dan tadika swasta di Sarawak boleh memohon skim pinjaman tanpa faedah bagi perusahaan kecil dan sederhana yang diumumkan di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang kedua (BKSS 2.0) hari ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, skim yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg itu bertujuan membantu dalam pembayaran gaji pekerja.
"Pengumuman hari ini mengenai pinjaman tanpa faedah itu bertujuan untuk membayar gaji pekerja selama enam bulan, dan ini pastinya akan memberi kelegaan yang besar kepada pengusaha," katanya kepada pemberita melalui pesanan WhatsApp.
Sebelum pengumuman hari ini, beliau berkata, para pengusaha berkenaan telah menyuarakan kerisauan dan kebimbangan terhadap operasi mereka sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Mereka mengakui bahawa beberapa ibu bapa telah mempersoalkan keperluan mereka membayar yuran bulanan untuk bulan April, Mei (atau mungkin lebih daripada dua bulan) apabila tidak ada perkhidmatan yang disediakan kerana penutupan institusi ini," katanya.
Sebaliknya, Fatimah berkata, pengusaha memaklumkan bahawa mereka masih perlu membayar gaji guru dan pembantu guru di taska dan tadika mereka, serta mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merupakan sebahagian besar perbelanjaan, walaupun premis mereka ditutup semasa PKP.
Beliau berharap para pengusaha, pekerja mereka dan ibu bapa akan terus melibatkan diri dalam perbincangan objektif untuk mencari jalan terbaik bagi menangani isu-isu yang tidak dapat diselesaikan dalam situasi 'menang-menang'.
"Taska dan tadika adalah perusahaan sosial dan sistem sokongan penting untuk ibu bapa yang bekerja," katanya.
Menurutnya, terdapat 746 taska dan tadika swasta yang berdaftar di negeri ini yang menggaji 2,903 guru serta 785 pembantu guru dan menerima pendaftaran 32,572 kanak-kanak. - Bernama